MARANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia mungkin menjadi seperti Thailand yang masih gagal membentuk kerajaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) tidak bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Jelas beliau, persepakatan yang dibentuk bersama BN juga dibuat selepas mengambil kira beberapa aspek terutama melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kalau orang tanya kenapa Anwar nak berpakat dengan UMNO, Barisan Nasional, jawabnya kalau kita tak pakat nak jadi macam Siam (Thailand).

"Berbulan-bulan pilihan raya tak ada majoriti, no government (tiada kerajaan), no prime minister (tiada perdana menteri). Jadi, Tuanku Agong runding dengan Raja-raja, kita tidak boleh macam ni, tidak ada majoriti.

"Kita kena berpakat untuk tubuh Kerajaan Perpaduan... tetapi Ustaz Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang), Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tolak dan saya juga tidak mudah terima.

"Tapi kita fikir soal rakyat, soal negara, titah raja dan kita fikir, bincang prinsipnya dimana prinsip UMNO adalah soal Melayu, soal Islam. Jadi kita pakat kita bangunkanlah bersama," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Terengganu, di Wakaf Tapai, di sini, malam tadi.

Anwar memberitahu, walaupun UMNO adalah rakan seteru sejak sekian lama namun muafakat antara kedua parti itu berjaya dibina setelah masing-masing mengetepikan rasa tidak puas hati dan mengutamakan kepentingan rakyat.

"Apa nak dendam lama-lama. Yang pentingnya kita bersama. Apa yang kita buat ada amanah, kita laksanakanlah dengan baik dan sempurna. Kita boleh belanja tetapi apa yang penting, kita tidak izinkan pemimpin sakau duit rakyat.

"Dan kita mula dengan rakyat di bawah, yang di atas kita bawa dengan pelaburan di atas," katanya.

Pada Rabu Perdana Menteri meluangkan masa di Terengganu dengan menyertai beberapa program antaranya perasmian karnival Sahabat Usahawan Madani Amanah Iktiar Malaysia (AIM) Wilayah Terengganu dan perjumpaan bersama usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

Beliau kemudiannya menyertai siri ceramah Jelajah Perpaduan Madani antaranya di Batu Hampar, Manir; Telemong, Hulu Terengganu; Wakaf Tapai, Marang dan di Hiliran, Kuala Terengganu. - Sinar Harian