JOHOR BAHRU: Orang Melayu tidak perlu takut dengan slogan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP kerana tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah selari dengan prinsip Rukun Negara.

Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Sheikh Omar Bagharib Ali berkata, ini kerana slogan tersebut merujuk kepada Malaysia untuk rakyat Malaysia dan selama ini tidak pernah menimbulkan masalah.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, slogan tersebut tidak sepatutnya menjadi isu lebih-lebih lagi dalam suasana kempen dan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

"Kita tidak seharusnya mengelak daripada polemik ini berterusan sebaliknya mencari titik persamaan perpaduan (antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) untuk berkempen dalam pilihan raya ini.

"Sebab itu kita setuju bentuk Kerajaan Perpaduan dan (semua parti) setuju Perlembagaan parti ini, tiada masalah antara satu sama lain. Jadi seharusnya perkara ini tidak timbul," katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah di sini, pada malam Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong merangkap Pengerusi DAP Johor; Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR); Dr Maszlee Malik; Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan calon PH, Suhaizan Kaiat.

Pada Jumaat, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa DAP memberi penjelasan mengenai konsep Malaysian Malaysia dibawa parti itu supaya tidak lagi menyumbang kepada ketegangan kaum.

Beliau berkata, DAP juga perlu mengakui kesilapan kepada rakyat jika konsep Malaysian Malaysia selari dengan janji parti itu menghapuskan kuota bumiputera dan mengembalikan penggunaan bahasa.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta DAP menggugurkan tuntutan 'Malaysia Malaysian' dan menggesa komponen PH menilai semula komitmennya yang antara lain menghapuskan sistem kuota bumiputera berikutan hujah matlamat sedemikian menghalang parti berkenaan daripada mendapat sokongan orang Melayu.

Mengulas lanjut, Sheikh Omar berharap, akar umbi terutama UMNO mendapat kefahaman jelas mengenai isu tersebut dan disebabkan kerjasama antara PH dan BN yang masih baharu, perkara itu masih menghantui mereka.

Beliau berkata, rasa sangsi serta curiga orang Melayu itu adalah perkara biasa dan memerlukan masa untuk menerimanya serta usaha memberi penjelasan sedang dilakukan jentera parti ketika ini.

Menurutnya, slogan tersebut tidak perlu digugurkan dan pada masa sama tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa DAP adalah satu ancaman.

Ditanya tindakan Nur Jazlan membangkitkan perkara itu tidak sesuai menjelang dua PRK tersebut, beliau tidak mahu bersangka buruk terhadap bekas Ahli Parlimen Pulai itu, tetapi percaya kenyataan tersebut dikeluarkan disebabkan khuatir dengan sentimen pengundi UMNO.

"Saya tidak ada sebarang sangka buruk kerana saya tahu ramai dalam kalangan kita (masih baru) untuk serasi dengan gerka kerja dan kolaborasi ini, jadi ramai orang nyatakan rasa risau khuatir dan banyak benda terkeluar.

"Hasrat beliau tak begitu, dia sebenarnya nak minta pengundi Melayu khususnya UMNO untuk sokong calon PH di Pulai, begitu juga usaha yang sama kita buat, cuma kita rasa gusar," katanya. - Sinar Harian