PASIR GUDANG: Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang menafikan khabar angin beliau mahu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

Beliau yang juga ADUN Puteri Wangsa berkata, sudah sejak sekian lama namanya terpalit dengan pelbagai khabar angin, namun tidak mengendahkannya.

Mazlan turut menjelaskan, setakat hari ini, beliau masih lagi ahli Bersatu dan Ketua Bahagian Bersatu Tebrau.

Katanya, biarpun Perlembagaan Negara memberikan kebebasan kepada mana-mana ahli politik untuk menyertai apa sahaja parti, namun, beliau tidak bercadang untuk meninggalkan parti tersebut dan menjadi ahli Bebas.

"Saya ini boleh jadi apa saja. Politik ini kita tidak tahu apa akan datang, hari ini jadi kawan, esok jadi musuh. Yang musuh (pun) boleh jadi kawan.

“Dalam Perlembagaan ada hak kebebasan untuk menyertai apa sahaja parti... setakat macam ini saya masih ahli Bersatu dan masih lagi Ketua Bahagian Tebrau," kata Mazlan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor di sini, hari ini.

Menurut Mazlan, khabar angin mengenai dirinya akan menjadi ahli Bebas itu dibuat bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat diadakan.

Bagaimanapun, Mazlan turut menolak khabar angin PRN Johor akan diadakan dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, kata beliau, sekolah-sekolah di negeri ini yang akan dijadikan pusat mengundi masih beroperasi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan mustahil urusan pengundian dapat dijalankan, ketika ini.