Kecewa dengan kenyataan berbaur perkauman oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Nazri Aziz semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Semenyih lalu, MCA dan MIC mempertimbangkan untuk mencari gabungan baharu.

Kedua-dua parti komponen BN itu berkata, tindakan UMNO yang berdiam diri dengan kenyataan Nazri telah menghancurkan asas saling menghormati yang dipegang BN selama ini

“MCA dan MIC tidak ada pilihan lain kecuali untuk meneruskan langkah untuk meneroka pakatan baharu yang menggambarkan tujuan sebenar penyatuan dalam kepelbagaian dalam niat asalnya,” kata kedua-dua parti berkenaan dalam kenyataan media pada Isnin.

Kenyataan MCA dan MIC itu ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Tan Sri A Vigneswaran.

Barisan kepimpinan parti MCA dan MIC kecewa dengan perkembangan politik semasa. - Gambar Facebook Wee Ka Siong


Menurut Ka Siong dan Vigneswaran, BN merupakan pakatan yang dibentuk untuk mempromosikan perpaduan dalam kepelbagaian kaum dalam membina negara.

“Gabungan BN dibentuk oleh pengasas kita yang mengetuai gabungan itu untuk mempromosikan perpaduan, kestabilan dan keharmonian politik di negara yang berbilang bangsa," kata kedua-dua pemimpin itu lagi.

Ketika kempen PRK Semenyih lalu, Nazri mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyerahkan hak orang Melayu kepada kaum lain dan mengkritik pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.