Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik menteri-menteri kanan dalam kalangan pelbagai parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya membuahkan sebuah kerajaan yang kuat.

Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusof berkata, situasi politik di dalam PN kini seolah-olah berlapis dengan setiap pemimpin mempunyai strategi tersendiri untuk parti masing-masing.

"Isu dalam UMNO sendiri tidak selaras dan tidak dapat selesaikan masalah malah menimbulkan (konflik) kepada kerajaan atau negara.

"Sebahagian (anggota) UMNO akan melompat ke Bersatu dan begitulah sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Jelasnya, faktor 'warlord' di dalam UMNO juga bermungkinan menjadi isu kepada kekuatan parti politik Melayu itu sendiri.

Selain itu tegasnya, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin pada situasi hari ini juga perlu berusaha untuk membantu menambah kekuatan Bersatu.

"Dr Mohd Radzi kena tambah kekuatan parti untuk mengukuhkan Muhyiddin," katanya lagi.

Dua lagi menteri kanan yang dilantik Muhyiddin sebelum ini ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.