KUALA LUMPUR: Rata-rata anggota Biro Politik UMNO mengambil pendekatan untuk mengunci mulut daripada mendedahkan sebarang keputusan atau isi kandungan mesyuarat malam ini.

Petugas media yang menunggu lebih tiga jam di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn hampa apabila kebanyakan anggota biro itu yang ditemui sebaik tamat mesyuarat, enggan memberikan sebarang komen

Malah kebanyakan pimpinan tertinggi tidak keluar melalui perkarangan lobi bangunan di mana kebanyakan wartawan dan jurugambar sedia menanti.

Bagaimanapun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, yang ditemui menyatakan tiada sebarang perbincangan berkaitan ketidakpuasan hati terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung nasib bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

"Tak ada apa... tak ada... mana ada hentam PM? PM ada sama (bersama) kan (ketika mesyuarat). Mesyuarat pasal PRU," katanya ringkas ketika dihampiri wartawan di perkarangan Menara Dato' Onn.

Setakat jam 12.30 malam tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh parti terbesar orang Melayu itu berkenaan mesyuarat tersebut.

Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu tidak akan berputus asa dari segi perjuangannya susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib.

Beliau yang mengajak ahli UMNO agar bersolidariti bersama Najib serta bangkit untuk bersatu hati turut memberitahu Mesyuarat Biro Politik parti itu akan diadakan dalam masa terdekat, namun tidak mendedahkan agendanya.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.