Skip to main content

Politik

Mesyuarat MP pembangkang tidak bincang kedudukan Bersatu dalam PN

HAMZAH ZAINUDDIN
Hamzah berkata mesyuarat pada malam ini adalah mengenai perancangan PRN Johor dan Negeri Sembilan masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ahli Parlimen pembangkang yang berlangsung di Pejabat Agung Pas tidak membincangkan mengenai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).

Pengasas Parti Wawasan Negara (Wawasan) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mesyuarat pada malam ini adalah mengenai perancangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos.

“Semua perbincangan itu memerlukan rakan-rakan terutamanya ahli-ahli Parlimen untuk turun membantu calon-calon kita, itu (perkara) yang dibincangkan,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Pejabat Agung Pas di sini hari ini.

Disoal mengenai keputusan Ketua Pembangkan di Dewan Rakyat, Hamzah menegaskan perkara tersebut telah diumumkan oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Sabtu lalu.

“Itu telah diumumkan oleh Tuan Guru (Abdul Hadi) pada minggu lepas,” katanya.

Untuk rekod, beberapa Ahli Parlimen pembangkang hadir bagi menghadiri mesyuarat pra-persidangan Parlimen yang berlangsung pada jam 8.30 malam.

Antara yang hadir ialah Khairil Mohd Nor (Ketereh), Datuk Ismail Muttalib (Maran), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar).

Minggu lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata kedudukan Bersatu dalam PN akan ditentukan pada mesyuarat Pas Pusat hari ini.

Bagaimanapun, tinjauan Astro AWANI mendapati tiada kelibat pemimpin daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pada mesyuarat berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement