SPEKULASI tentang siapa tokoh parti orang Melayu terbesar negara yang disebut-sebut bakal digugurkan akan terjawab pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Sebenarnya pengguguran itu mungkin ada atau mungkin juga tidak ada.

Walaupun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sendiri mengatakan ia tidak pernah dibincangkan, tidak akan berlaku selain ia khabar angin semata-mata.

Namun di dalam politik, semuanya ada kemungkinan.

Jika bercakap tentang kemungkinan, tidak ada sesiapa yang boleh menjangka Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digugurkan daripada Kabinet.

Walaupun ada di antara senarai lain yang digugurkan pada 28 Julai lepas dikatakan layak dikeluarkan daripada Kabinet (kerana masalah parti dan sebagainya), ia tetap menjadi kejutan kepada rakyat negara ini.

Bagaimanapun penerangan dan punca pengguguran nama-nama besar yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang masuk akal.

Alasan selepas mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran selain memastikan parti terus komited dan sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan BN kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lepas membuatkan rakyat semakin memahaminya.

Demi negara dan PRU ke-14 akan datang, rakyat mungkin mahu melihat dimensi baharu dalam kepimpinan Najib.

Syukur, tidak ada sebarang kekecohan berlaku selepas pemecatan Muhyiddin walaupun petugas media diminta berada di hadapan rumahnya selama tiga hari untuk memantau dan bersedia takut-takut ada kejadian buruk yang mungkin berlaku.

Namun syukur sekali lagi kerana tidak ada apa terjadi dan ungkapan 'Kepada Allah saya berserah' daripada Muhyiddin menguatkan lagi gerak hati rakyat bahawa tidak ada sebarang kekecohan akan berlaku selepas hari penggugurannya.

Selepas itu, dunia politik UMNO semakin rancak dengan mesyuarat UMNO di setiap bahagian yang memberi pelbagai usul pada setiap pengakhiran perjumpaan.

Tidak terkecuali, selain usul daripada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Tampin yang sebulat suara menerima dan meluluskan usul meminta Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden parti, ada juga bahagian seperti Sungai Besar yang memberi usul meminta Muhyiddin berundur daripada jawatan Timbalan Presiden parti secara terhormat.

Namun, selepas lebih 40 hari dari tarikh pengguguran nama-nama besar di dalam Kabinet, hari ini merupakan jawapan kepada pelbagai spekulasi mengenai nasib mereka di dalam parti.

Pastinya nama-nama tambahan seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, serta beberapa nama lain yang 'panas' tersebar di sistem pesanan WhatsApp juga tidak senang duduk selagi mesyuarat belum berakhir.

Tidak ada jawapan teka-teki lain yang mahu dinanti seluruh ahli UMNO menjelang selesainya mesyuarat MT hari ini.

Ada juga jangkaan perbincangan bakal berkisar tentang ahli Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin yang dipecat keahlian kerana tindakannya menyaman Najib selain permintaan menjelaskan perihal penerimaan derma politik bernilai RM2.6 billion ke dalam akaun peribadinya.

Bagaimana tidak, MT mungkin mengambil kira pendapat Pengerusi Tribunal Disiplin UMNO Malaysia, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas yang menyifatkan pengguguran Anina hanya boleh disahkan melalui usul hari ini.

Namun, kemungkinan MT mahu memecat semula Anina tidak sekuat tanda-tanya kemungkinan ada tokoh yang akan digugur daripada parti.

Mesyuarat MT kali ini juga sebenarnya adalah yang pertama selepas Hari Raya Aidilfitri lepas susulan pembatalan mesyuarat asal yang dijadualkan pada 31 Julai lalu.

Bagaimanapun ada sumber dalaman UMNO menjelaskan, mesyuarat 31 Julai lepas merupakan perbincangan kedudukan Muhyiddin sendiri yang digugurkan dari Kabinet sebelum ini.

Jadi adakah mesyuarat MT hari ini akan 'menyambung' perbincangan isu Muhyiddin serta kumpulan yang digugurkan selain beberapa nama lagi yang dikatakan berada di dalam 'pasukan' bekas Timbalan Perdana Menteri itu?

Apakah jawatan Timbalan Presiden UMNO yang dipegang Muhyiddin terpaksa dilepaskan atau terus digenggam dengan penuh 'cabaran' selepas Najib sendiri memutuskan untuk menangguhkan Pemilihan UMNO 2016 selama 18 bulan lagi pada mesyuarat MT 26 Jun lepas?

Apakah saranan Muhyiddin supaya UMNO tidak menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum seperti yang dilakukan sebelum ini sebaliknya menjalankan pemilihan tersebut mengikut masa yang ditetapkan oleh perlembagaan parti semasa berucap merasmikan Perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada 2014 akan dijadikan alasan untuk apa sahaja tindakan parti?

Walaupun kata Muhyiddin cadangan itu dalam kerangka idea untuk meremajakan UMNO yang kini berdepan dengan krisis keyakinan dalam kalangan orang muda, keputusan akhir adalah hasil musyawarrah MT hari ini.

Apa sahaja keputusan mesyuarat MT hari ini...'Kepada Allah kita berserah.'