KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan pertemuan 'Top 5 UMNO' yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertemuan 'Top 5' UMNO bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Maknanya sebelum mesyuarat (khas MKT) seterusnyalah akan bincang balik (Top 5)... biasanya macam itulah. Sebelum MKT ada (mesyuarat) Top 5, ada (mesyuarat) Biro Politik, lepas tu malam (akan) ada (mesyuarat) MKT.

"Jadi minggu ni tak adalah," katanya ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo Dubai 2020 di sini malam ini.

Ismail Sabri bagaimanapun tidak mendedahkan punca mesyuarat berkenaan ditangguhkan dan bila ia akan diadakan semula.

Beliau berkata, perkara itu akan diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sebelum ini Ismail Sabri Yaakob dijangka mengadakan pertemuan dengan lima pemimpin tertinggi UMNO yang dirujuk sebagai 'Top 5' bagi membincangkan tarikh (PRU15) dalam masa terdekat.

Ismail Sabri yang menduduki kerusi ‘Top 5' sebagai Naib Presiden dilapor berkata, mesyuarat itu mungkin diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober depan.