ALOR SETAR:Rundingan kerusi antara parti dalam Muafakaf Nasional (MN) sudah melebihi 50 peratus dengan persetujuan antara PAS dan UMNO mengikut fomula yang dipersetujui bagi memastikan tiada pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pembahagian kerusi dalam MN akan  dibahagikan mengikut kerusi yang dimenangi parti dalam PRU sebelum ini.

"Kalau kerusi UMNO menang Pas tak letak calon... disiplin Pas sangat tinggi, tiada masalah... kalau dia menang (UMNO) dia duduklah...

"Itu formula yang pertama... lompat (bagi calon yang lompat parti) itu ada rundingan lain... dia masuk bahagian lain pula, akta lain... itu terpulang kepada parti masing-masing...," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Pagi Penjawat Awam Negeri Kedah dan Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, berkata isu politik membabitkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini diyakini tidak akan menjejaskan usaha memastikan hanya pertandingan dua penjuru di setiap kerusia dalam PRU akan datang.

Katanya, masalah terbabit pasti akan berlalu dan akhirnya hanya gabungan MN dan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH).

"Saya fikir isu-isu yang sedang berlaku ini tidak akan menjejaskan hasrat kita untuk memastikan berlaku dua penjuru...

"Selepas ni dia akan pulih balik... dia (ibarat) ribut dalam cawan... orang kata lama-lama habis," katanya.

BACA: UMNO bawa usul putus hubungan dengan Bersatu pada PRU15 dalam Perhimpunan Agung - Shahril

BACA: Bersatu buat ketetapan PRU hanya wajar selepas COVID-19 terkawal - Wan Saiful


Malam tadi, UMNO mengumumkan akan membawa usul memutuskan hubungan dengan Bersatu ke dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 31 Januari depan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu.