KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) masih lagi wujud.

Demikian kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang menegaskan permuafakatan antara UMNO dan Pas masih ada terutamanya di peringkat kebangsaan.

Menurut beliau, meskipun kedua-dua parti itu bersaing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun 'persaingan' itu tidaklah sampai memutuskan hubungan’UMNO dan Pas.

“Walaupun MN itu terdiri daripada UMNO dan Pas, tapi sekarang Pas menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) dan UMNO pula sebahagian daripada Barisan Nasional (BN).

“PN dan BN bersaing berasingan dan mereka bersaing sesama sendiri. Walaupun itu (persaingan PN dan BN) berlaku, tak bermakna Pas dan UMNO itu terputus hubungan sama sekali.

“MN masih boleh dikatakan wujud terutamanya di peringkat kebangsaan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Pelaksanaan 5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration di sini, pada Rabu.

Tambah beliau, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila parti yang bersama dalam kerajaan Persekutuan bersaing di peringkat negeri kerana perkara tersebut turut diamalkan di negara lain.

Hubungan PN dan BN yang membentuk kerajaan pada waktu ini menjadi persoalan dalam kalangan rakyat selepas kedua-dua gabungan itu mengumumkan bertanding berasingan dalam PRN Melaka.

Menariknya, PN dan BN masing-masing bertanding di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menyebabkan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di semua kerusi.

Dalam pada itu, ketika ditanya ruang media kerajaan yang akan diberikan kepada calon PRN Melaka termasuk calon daripada pembangkang, Annuar berkata, beliau akan membincangkan permintaan tersebut dalam masa terdekat.

“Saya faham apa yang mereka minta, saya juga faham masalah terutamanya kempen dalam prosedur operasi standard (SOP) yang baharu dan saya terima hakikat, ada sedikit kekurangan terutamanya kepada calon baharu.

“Mereka tidak bebas untuk pergi ke sana-sini, jumpa orang dan sebagainya. Nampaknya parti bertanding sudah mula menggunakan cara berkempen yang baharu tapi berhubung peluang untuk mereka muncul di televisyen, kita mungkin benarkan perkara itu.

“Begitupun, saya perlu bincang perkara ini dengan RTM terutamanya berkaitan slot yang sesuai. Saya akan melihat cadangan ini,” ujarnya.