Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir diminta menghentikan sikap dolak-dalik berhubung pendiriannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan hari ini.

“Walaupun kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri ditentukan oleh Perdana Menteri, Mukhriz tidak semestinya terikat untuk menyokong secara membuta tuli sehingga mengabaikan kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.

Menurut Mahfuz, Mukhriz sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat berat kerana hampir kesemua Bahagian UMNO di negeri itu memihak kepada Najib.

BACA: 69 Ketua UMNO DUN Bukit Lada setuju Mukhriz lepas jawatan jika tidak sokong Najib

Pemimpin nombor satu UMNO itu kini, menurut Mahfuz, sedang berhadapan dengan konfrontasi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang juga merupakan bapa Mukhriz.

“Sebelum ini, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin mendakwa bahawa Mukhriz menyatakan, beliau hanya akan menyokong Najib sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bersih dari penyelewengan dan salah laku dalam urus tadbir.

“Namun jika siasatan mendapati sebaliknya, beliau akan bersama-sama rakyat.,” petik Mahfuz.

BACA: Mukhriz harus letak jawatan jika tidak nyatakan sokongan terhadap Najib - ADUN Kedah

Mahfuz berkata, pendirian itulah yang sewajarnya dipertahankan oleh Mukhriz dan kesemua kepimpinan UMNO Kedah.

“Dalam semua perkara, kepentingan rakyat mestilah didahului berbanding kepimpinan seorang pemimpin atau kelompok,” katanya yang meminta Mukhriz melihat keseluruhan isu yang dikaitkan dengan Najib.