ALOR SETAR: Isu membabitkan jemputan ke Muktamar Pas kali ke-68 melibatkan pimpinan UMNO masih tidak menemui titik noktah.

Terbaharu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob memaklumkan bahawa jemputan yang diterima pada 30 Ogos lalu, oleh Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Kedah adalah di atas tiket Exco Kerajaan Negeri dan tidak langsung melibatkan kapasiti kepimpinan UMNO atau institusi kepartian.

Malah menurut beliau, ketika berbual dengan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada Majlis Perasmian Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas Dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan pada 1 September lalu, pemimpin itu hanya berseloroh memaklumkan Muktamar Tahunan Pas tahun ini diadakan serentak dengan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kedah.

"Namun beliau langsung tidak menyebut tentang sebarang jemputan kepada kepimpinan UMNO di peringkat Pusat mahupun Negeri Kedah ke Muktamar berkenaan,

"Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berada di majlis yang sama juga tidak dimaklumkan tentang sebarang undangan ke Muktamar Pas 2022 itu," jelasnya menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya pada Ahad.

BACA: Dakwaan UMNO tidak dijemput, Takiyuddin tampil dengan bukti

BACA: UMNO Kedah nafi terima sebarang jemputan - Jamil Khir
 
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang undangan dibuat oleh Pas kepada kepimpinan UMNO Pusat atau Negeri Kedah untuk ke Muktamar Pas, melainkan hanya kepada Exco Kerajaan Negeri Kedah sahaja.

Hakikatnya, tegas Suraya, sepanjang empat tahun Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan, beliau tidak pernah sekalipun hadir ke mana-mana Muktamar Tahunan Pas, mahupun mesyuarat di peringkat Pas Kawasan atau Negeri Kedah.

"Peliknya, pada tahun 2022 ini kecoh pula tentang kononnya tidak seorang pun kepimpinan UMNO hadir pada Muktamar Pas?.

"Bagaimana kepimpinan UMNO hendak hadir jika tiada sebarang jemputan dibuat atas kapasiti parti?

"Apakah kerana kekecohan tersebut sengaja Pas cetuskan gara-gara PRU15 yang hampir tiba?" soal beliau.

Justeru, beliau menasihatkan Pas agar lebih ikhlas dengan bercakap benar kepada rakyat tentang soal jemputan atau kehadiran kepimpinan UMNO ke Muktamar Pas bagi tahun 2022.

"Usah diputar belit, berlagak suci atau "play victim" dalam soal ini, dan mengelirukan orang ramai mengenai hal sebenar yang berlaku dengan menyalahkan kepimpinan UMNO,

"Demi menjaga hubungan persaudaraan sesama kita, saya harap Pas maklum mengenai perkara ini," tambah beliau lagi.