Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) ke-61 membuka tirai dalam suasana norma baharu di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.

Selari dengan kebiasaan baharu, perwakilan yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Persidangan Pemuda kali ini dihadiri kira-kira 400 perwakilan daripada 179 jawatankuasa Pemuda kawasan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Khairil Nizam Khirudin dijadual menyampaikan ucaptama pada pukul 10.00 pagi diikuti dengan perasmian.

Hadir sama bagi merasmikan Muktamar DPPM, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain itu, turut kelihatan hadir ialah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

Tumpuan pastinya akan terarah kepada sesi perbahasan usul yang dijadual berlangsung pada pukul 4.15 petang, hari ini.

Selain Muktamar DPPM, turut berlangsung di lokasi berbeza ialah Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat ke-59 di Markaz Dewan Ulamak (MADU), Labok, Machang.

Sementara, Muktamar Dewan Muslimat Pas Pusat ke-60 pula diadakan di ibu negara, dengan perasmian telah diadakan pada Jumaat malam.

Muktamar Tahunan Pas ke-66 yang merupakan kemuncak persidangan tahunan parti itu berlangsung pada Ahad, di mana buat pertama kali ia akan turut bersidang secara maya.

Muktamar kali ini cukup bersejarah buat parti Islam itu sempena usia setahun Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara Pas dan UMNO pada 14 September tahun lalu.