Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini menzahirkan ucapan takziah dan simpati terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua selepas dikasari penyokong parti itu awal hari ini.

Beliau turut mendoakan agar Tian Chua sihat dan sabar dalam mengharungi dugaan.

"Takziah dan simpati saya buat saudara Tian Chua di atas kejadian kekasaran fizikal ke atas beliau sekejap tadi. Semoga sihat afiat dan sabar harungi dugaan," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Tambah beliau walaupun berbeza pandangan dalam politik, namun sentiasa mengagumi kegigihan Tian Chua dalam berjuang.

"Saya mengenalinya lebih dekat ketika beliau bersama rakan reformasi berkunjung ke rumah al marhum ayahanda, Nik Abdul Aziz Nik Mat lama dulu.

"Politik ganas dan kasar mesti dijauhi, kata-kata kasar dan nista mesti dielakkan, apatah kekasaran fizikal.

"Ia tanggungjawab bersama semua parti politik, apatah parti pemerintah untuk menerapkan kefahaman dan budaya bersih dan sejahtera dalam politik di kalangan rakyat," katanya lagi.

BACA: Tian Chua ditampar, disimbah air dan diherdik 'pengkhianat'

Beliau berkata Pas akan sentiasa menjunjung budaya politik matang dan sejahtera.

Katanya, semoga Allah merahmati Pas dan Malaysia.

Terdahulu, menerusi rakaman video berdurasi lebih satu minit yang sedang tular ketika ini, Tian Chua dilihat diserbu sekumpulan lelaki dipercayai penyokong parti tersebut dalam insiden kekecohan di hadapan ibu pejabat di Petaling Jaya.

Dalam insiden mencemaskan itu, Tian Chua turut ditolak, ditampar pada bahagian kepala, selain turut disimbah dengan air dan dibaling botol.