BANGI: Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, mengesahkan dirinya tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Sebaliknya, mantan Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, beliau akan berusaha keras dan menjelajah ke seluruh negeri bagi memastikan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Selangor dalam PRN nanti.

Bekas Menteri Pembangunan Usahawan itu berkata, beliau memutuskan untuk tidak bertanding pada PRN kali ini bagi memberi ruang dan peluang kepada pemimpin lebih muda menjadi wakil rakyat di Selangor.

"Saya tidak bertanding dalam PRN nanti, rasa cukuplah setakat ini dan mahu beri peluang kepada muka baharu kerana di Selangor sendiri ramai tokoh muda berwibawa boleh diketengahkan.

"Namun saya akan turun padang berkempen kerana mahu meneruskan perjuangan saya untuk menewaskan PH di Selangor selepas BN kalah dalam Pilihan Raya Umum 2008 (PRU2008) lalu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran jentera PN dan kempen Selangor Baharu di Pusat Konvensyen Bangi, malam tadi.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu juga percaya peluang PN merampas negeri itu cerah jika hanya berlaku pertembungan dua penjuru antara PH-BN dan PN pada PRN nanti.

"Sebab itulah semasa menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO dulu, saya beritahu pucuk pimpinan supaya memastikan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru di Selangor iaitu antara BN, PH dan Pas kerana ia akan merugikan parti.

"Saya sudah cakap kita kena cari jalan supaya jangan bertembung tiga penjuru dan sekarang ramalan saya sudah terbukti apabila PH menang, manakala Pas dan BN akan kalah di Selangor seperti berlaku pada PRU14 lalu," katanya.

Noh juga menjangkakan BN akan menang sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di Selangor jika tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 lalu.

"Pada awalnya saya menjangkakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (mantan Menteri Kewangan) pun boleh menang di Kuala Selangor jika tidak berlaku pertembungan tiga penjuru yang akhirnya memihak kepada PH.

"Sebab itulah saya katakan sekarang PN adalah untuk mengalahkan PH di Selangor dengan syarat tidak berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRN nanti," katanya.

Dalam pada itu, Noh yang berjuang bersama BN lebih 30 tahun juga melahirkan rasa kecewa dengan keputusan parti yang kini bersama musuh ketat UMNO iaitu PH dan DAP dalam kerajaan campuran di Putrajaya. - Sinar Harian