KUALA LUMPUR:PAS dilapor mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan situasi politik melibatkan hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Difahamkan mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berlangsung di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut jam 10 pagi tadi.

Menurut laporan portal MalaysiaKini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz dilihat meninggalkan premis itu selepas setengah jam mesyuarat bermula.

Mesyuarat dipercayai membincangkan ketetapan PAS dalam kemelut politik melanda hubungan UMNO dan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Malah terdapat pemimpin veteran PAS yang berpendapat ketiga-tiga parti Islam itu perlu kekal bersama untuk mengelakkan kerugian yang besar.

Astro AWANI sedang mendapatkan reaksi pemimpin Pas terutamanya Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung mesyuarat itu.