KUALA TERENGGANU: Pas bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu sekiranya ia diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya tidak mempunyai masalah kerana jentera parti telah bersedia susulan PRN yang akan berlangsung di enam negeri.

"Terengganu sememangnya antara negeri yang akan menghadapi PRN justeru tidak menjadi isu sekiranya pilihan raya kecil dijalankan serentak, jentera telah bersedia," katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, peguam Wan Rohimi Wan Daud memaklumkan Pas tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lepas yang membatalkan kemenangan calon parti itu Datuk Ahmad Amzad Hashim dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata senarai calon Pas bagi PRN di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah hampir selesai dan akan diputuskan oleh Pesuruhjaya Pas negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu lepas mengumumkan PRN di keenam-enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

-- BERNAMA