PADANG TERAP: Meskipun Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO menyatakan pendirian untuk bergerak solo dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pas tidak pernah menutup ruang untuk proses kerjasama, kata Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin.

Bagaimanapun, tegasnya, kebaikan Pas itu perlu dibalas dengan tindakan yang memberi manfaat kepada kesepakatan umat, bukannya amalan 'tikam belakang' seperti dilakukan pihak tertentu ketika ini.

Menurutnya, beliau antara orang yang paling gembira apabila Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO ditandatangani, yang menyatukan dua parti yang selama ini tidak sehaluan.

Sehubungan itu, beliau berharap situasi ketika ini, susulan kenyataan, kritikan serta tindakan yang diambil, tidak menjadi punca kerjasama yang dijalinkan sebelum ini terlerai begitu sahaja.

"Kita berharap supaya berdamai. Hendak berkawan, marilah. Kalau nak lawan, tunggu. Kita berhenti dulu yang nak lawan, mari kita berkawan.

"Saya tak pernah berhenti bercakap (mengenai perpaduan). Cuma kita harap satu sahaja, walaupun pihak kita sedia untuk buka tangan menerima, janganlah dok tikam belakang, jangan rosakkan perpaduan yang kita sepakati bersama.

"Saya cukup sayang (kerjasama Pas-UMNO). Kalau dulu sebelum tandatangan (piagam), UMNO dan Pas tidak boleh dekat, ada saja tak kena. Tetapi setelah perjanjian itu, kita boleh duduk dalam satu bilik," katanya.

Beliau memberi contoh, apabila Perhubungan Pas Perlis mahu menubuhkan sebuah kompleks pendidikan Islam, ada ahli UMNO yang bertanya sekiranya mereka boleh turut menghulurkan sumbangan.

Hashim berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Pelancaran Jentera PRU15 Pas Kedah di SRITI Naka, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan, pernah wujud perjanjian untuk kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah sekiranya berlaku sebarang perselisihan dalam kerjasama antara Pas dan UMNO.

Tambahnya, Pas juga berharap amalan 'tutup buku' tidak dilakukan terlalu awal sekiranya berlaku sebarang masalah yang boleh dibincangkan di meja perundingan.

"Sepatutnya janganlah lipat (buku) awal-awal, masuk bawah meja. Kita ada ruang untuk bincang, untuk bicara. Ini yang Allah suruh.

"Maka, kalau dia nak lipat, lipatlah, tetapi kita sentiasa terbuka. Kita bukan sahaja boleh (kerjasama dengan) UMNO, dengan orang lain pun boleh," kata Hashim.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan menyatakan keputusan BN untuk bergerak solo pada PRU15 adalah muktamad dan dibuat sebulat suara oleh parti.

Katanya, BN yakin mempunyai potensi untuk menang, namun kerja keras perlu dilakukan untuk meraih lebih banyak kerusi.