Skip to main content

Politik

Pas Terengganu adakan mesyuarat khas selepas putus dengan Bersatu

https://www.sinarharian.com.my/article/783048/edisi/terengganu/pas-terengganu-adakan-mesyuarat-khas-selepas-putus-dengan-bersatu
Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya akur dengan keputusan Pas Pusat demi mendepani fasa baharu landskap politik tanah air.

KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi memperincikan haluan serta tindakan lanjut di peringkat negeri susulan keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Pas Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya akur dengan keputusan Pas Pusat demi mendepani fasa baharu landskap politik tanah air.

"Pas Terengganu mengambil maklum dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh Pas Pusat.

"Insya-Allah, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan selanjutnya di peringkat negeri," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Langkah mengadakan mesyuarat di peringkat negeri itu difahamkan bagi menentukan hala tuju pentadbiran memandangkan perkembangan terbaharu ini turut memberi kesan langsung kepada kedudukan pemimpin Bersatu dalam kerajaan negeri.

Antara yang menjadi tumpuan utama termasuk status Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.

Bagaimanapun, setakat ini difahamkan segala urusan dan tugas membabitkan barisan Exco masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Malah, setakat ini pentadbiran kerajaan negeri juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung implikasi atau penstrukturan semula kedudukan wakil Bersatu berkenaan.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan pembubaran kerjasama politik antara Pas dan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, mesyuarat turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah mengenai kerjasama politik parti itu berasaskan prinsip penyatuan ummah.

Jelas beliau, Pas kini akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu demi penyatuan ummah serta sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement