KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu akan mengambil beberapa langkah tertentu dan lebih berhati-hati dalam memastikan gerak kerja parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak tidak bertentangan dengan sebarang undang-undang pilihan raya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia termasuk meneliti sebarang pelaksanaan program oleh kerajaan negeri sepanjang tempoh berkempen nanti.

Naib Presiden Pas itu berkata mereka akan terus mendukung prinsip politik matang dan sejahtera sepanjang masa, terutamanya dalam tempoh PRN kelak.

"Memang agenda kita sentiasa berhati-hati, antara langkah lain juga kita dah membaca penghakiman daripada kes di Marang, di mana hakim dengan nada berbeza dengan apa di Kuala Terengganu, jadi seterusnya ikut pertimbangan parti untuk kita urus perkara ini untuk tidak melakukan kesalahan.

"Seingat saya juga, sepanjang musim pilihan raya nanti, kita (kerajaan negeri) tak ada dah apa-apa program berkait pemberian sumbangan mahupun bantuan, cumanya program Awal Muharam (19 Julai) nanti kita teruskan," katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Kad Laporan Prestasi 2018-2023 dan Buku Kejayaan Terengganu 2018-2022 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media mengenai perancangan PAS bagi menghadapi PRN kali ini selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lepas membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril berkata pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.

Menurutnya walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan pilihan raya di Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya itu pada 3 Jan lepas untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan Marang.

Mahkamah bagaimanapun mengekalkan kemenangan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum ke-14, Kerajaan Negeri Terengganu dibentuk oleh PAS selepas parti itu berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.

-- BERNAMA