PAS Kelantan tidak mahu mana-mana pihak menggunakan isu tuntutan royalti petroleum dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor kerana ia masih menjadi kes mahkamah.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pihaknya akan membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mana-mana pihak, termasuk Barisan Nasional (BN), membangkitkan kes tuntutan royalti itu.

"Saya ingin mengingatkan bahawa isu royalti masih kes mahkamah. Jika mana-mana pihak terutama kerajaan cuba bangkitkan perkara ini kemungkinan kita akan membuat laporan," katanya kepada pemberita di Pusat Media PAS di sini semalam.

Katanya, isu yang masih menjadi kes mahkamah tidak boleh dibincangkan kerana boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

"Tetapi sekiranya perkara tersebut perlu dibangkitkan kerajaan pusat, kerajaan negeri tiada pilihan kecuali terpaksa mendedahkan data-data yang perlu bagi menangkis tuduhan itu," katanya.

Katanya, PAS juga menubukan sebuah jawatankuasa bagi menyampaikan maklumat sebenar kes isu tuntutan royalti itu.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu tuntutan royalti itu disifatkan sebagai satu fitnah pihak pembangkang terhadap kerajaan pusat.

Katanya BN akan menjawab segala fitnah mengenai kononnya Petronas masih belum membayar royalti berjumlah RM12 bilion kepada kerajaan negeri Kelantan.

Pada PRK DUN Pengkalan Kubor, calon BN Mat Razi Mat Ail, 48, akan ditentang calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47.

PRK itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat BN Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Nor Zahidi mengalahkan calon PKR Shaharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

Hari pengundian ditetapkan pada 25 Sept ini.