KUALA LUMPUR: Semua peringkat kepimpinan dan ahli perlu bertanggungjawab dan dilibatkan dalam 'bedah siasat' besar-besaran melalui pemilihan parti UMNO yang sudah diputuskan kepimpinan tertinggi.

Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman menegaskan, pemilihan parti di semua peringkat jawatan terutama jawatan tertinggi UMNO perlu dipertandingkan pada tahun ini, sebagaimana turut diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas sebelum ini.

Jelasnya, jika terdapat ura-ura bahawa akan ada satu usul bakal dikemukakan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dilakukan pada PAU minggu depan, maka sebagai ahli, ia secara jelas satu tindakan tidak menghormati keputusan PAU Khas tersebut.

"Saya menghormati institusi Presiden dan saya mahu institusi ini diperkasakan setelah kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam sejarah PRU negara pada PRU15 lalu.

"Biarlah sokongan terhadap Presiden dan parti kita kini diabsahkan melalui pemilihan parti yang sihat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA: Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO wajar dipertanding - Penganalisis Politik 

BACA: PAU2022: Pemilihan UMNO boleh dibincang dalam mesyuarat MKT Khamis ini - Ahmad Maslan 

Menurut beliau, keputusan besar sebegini perlu dibuat secara kolektif oleh kesemua ahli parti termasuk di peringkat akar umbi dan bukan hanya segelintir perwakilan yang hadir melalui sorakan mahu pun tepukan yang menggemakan dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada minggu depan.

Mahadhir juga menggesa semua agar tidak leka, terbuai dan bertindak seolah-olah parti ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan mengambil keputusan untuk tidak melakukan pemilihan parti.

Ia hanya, katanya, kerana segelintir pemimpin tertinggi parti berada dalam barisan Kabinet kerajaan pada masa kini.

"Pemilihan parti ini lebih kepada urusan parti dan bukannya atau tiada kena mengena dengan kerajaan hari ini.

"Semangat kita semua ahli parti sehingga ke peringkat akar umbi perlu didengar serta dihormati!" katanya.