Skip to main content

Politik

PAU 2026: Zahid beri kata dua, keluarkan BN daripada Kerajaan Perpaduan atau bubar Parlimen

Kuala Lumpur , 12 September 2026. Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pergulungan sempena Perhimpunan Agong UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.Astro AWANI
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya BN diminta keluar daripada Kerajaan Perpaduan, asas sokongan 112 kerusi yang membentuk kerajaan ketika ini tidak lagi wujud, sekali gus memerlukan mandat baharu daripada rakyat - Gamba/ Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO semakin lantang apabila mengemukakan dua pilihan, sama ada mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dengan segera atau mengeluarkan Barisan Nasional (BN) daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan, turut mencabar pihak berkenaan supaya memenuhi gesaan yang dibuat parti Melayu itu agar mandat dikembalikan kepada rakyat.

“Pilihan cuma ada dua! Satu, dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan Pilihan Raya Umum!

"Kedua, keluarkan kami secara rasmi daripada (Kerajaan Perpaduan) dan undi tidak percaya boleh dilakukan di Dewan Rakyat!

“Ada berani ke? Kalau berani buatlah cepat! Kalau berani bubarlah cepat!” katanya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Berucap lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya BN diminta keluar daripada Kerajaan Perpaduan, asas sokongan 112 kerusi yang membentuk kerajaan ketika ini tidak lagi wujud, sekali gus memerlukan mandat baharu daripada rakyat.

Ahmad Zahid menambah jumlah kerusi yang menyokong Kerajaan Perpaduan ketika ini melebihi majoriti mudah, namun sokongan itu merupakan tambahan kepada asas pembentukan kerajaan yang ada, melibatkan gabungan pelbagai parti.

“Walaupun jumlah kerusi bersama Kerajaan Perpaduan sekarang melebihi majoriti mudah, tetapi ia adalah tambahan kepada asas yang ada. Sebab parti-parti yang menyertai sekarang ini pelbagai parti, semuanya 18 parti,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata kerjasama yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan adalah atas amanah kenegaraan dan kepatuhan kepada titah Yang di-Pertuan Agong, dengan matlamat memastikan kestabilan pentadbiran demi kepentingan rakyat.


 

Must Watch Video

Advertisement