Skip to main content

Politik

PAU 2026: UMNO tidak akan lemah meski dianiaya, difitnah - Setiausaha Agung

[TB]_PAU 2026, Zahid Hamidi 2_Astro AWANI_Shahir Omar
Asyraf Wajdi (dua dari kiri) mengiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di Kuala Lumpur, pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan berundur atau menjadi lemah meskipun didakwa berdepan tindakan menganiaya dan memalukan daripada pihak tertentu yang sebelum ini pernah dibantu untuk mencapai kedudukan tertinggi, tegas Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Setiausaha Agung UMNO itu, apa yang berlaku mutakhir ini mencerminkan sikap segelintir pihak yang didakwa hanyut dengan kekuasaan sehingga sanggup menyalahgunakan sisa-sisa jawatan serta menganiaya rakan yang sebelum ini membantu mereka.

"Perjuangan ini adalah sunnatullah yang penuh dengan ujian kerana pejuang sejati yang sabar akan kekal berdiri walau dibadai taufan.

"Apa yang berlaku mutakhir ini juga mengingatkan kita betapa bobroknya manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara sehingga hilang pertimbangan.

"Rakus menyalahgunakan sisa-sisa jawatan. Menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak takhta," kata beliau semasa berucap pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Jumaat.

Tanpa menyebut mana-mana pihak secara spesifik, Asyraf Wajdi menambah, pihak terbabit bagaimanapun tersilap percaturan sekiranya menyangka tindakan menganiaya, menakutkan dan mengaibkan pimpinan UMNO akan menyebabkan parti itu menjadi lemah.

"Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah. Mereka silap. Kita ini pejuang UMNO. Kita ini pejuang Melayu," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kejayaan yang kembali membuahkan hasil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan pula tidak dicapai dengan mudah, sebaliknya, terhasil daripada usaha penyatuan ummah termasuk kerjasama dengan Pas.

Katanya, penyatuan UMNO dan Pas yang semakin kukuh itu turut mengundang rasa tidak senang pihak lawan sehingga pelbagai bentuk tekanan dikenakan terhadap pimpinan parti.

"Pelbagai intimidasi, pelbagai fitnah dan pelbagai juga tuduhan-tuduhan jahat telah direka semata-mata untuk menakutkan, mengaibkan, mencalar reputasi dan menguji kecekalan hati pimpinan," katanya.

Menurut beliau, perjuangan politik sememangnya penuh dengan ujian dan pejuang yang sabar akan terus berdiri teguh meskipun berdepan tekanan.

"Dicabar kita bangkit. Ditekan kita melompat lebih tinggi. Dipukul, kita berdiri lebih keras melawan.

"Kalau layar sudah dikembang, jangan gentar ombak lautan. Kalau sabar sudah tak terkekang, lagi ditekan, lagi kuat kita lawan," ujarnya lagi.

PAU 2026 berlangsung dari 9 hingga 12 September, dengan perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti itu berlangsung pada Rabu melibatkan 1,163 perwakilan bagi Pergerakan Wanita, Pemuda (1,171 orang) dan Puteri (1,145 orang).

 

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement