KUALA LUMPUR: Perbahasan peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dibuat secara tertutup tanpa akses kepada agensi media selain media rasmi UMNO. 

Astro AWANI mendapati bahawa tiada siaran langsung secara maya diberikan kepada media sepanjang perbahasan ketiga-tiga peringkat sayap itu melibatkan wakil-wakil pembahas dari seluruh negeri.

Bagaimanapun, hanya beberapa klip video pembahas wakil Pergerakan Puteri UMNO dimuat naik di laman Facebook UMNO Online selang beberapa minit selepas dibahaskan.

Persidangan Pergerakan Wanita UMNO berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, manakala Pemuda UMNO pula diadakan di Dewan Tun Hussein Onn dan Puteri UMNO pula di Dewan Merdeka.

Bagaimanapun, difahamkan hanya media rasmi UMNO dibenarkan memasuki dewan persidangan sepanjang perbahasan berlangsung.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 bermula pagi Sabtu dimulakan dengan ucapan perasmian serentak tiga sayap perwakilan UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ia disusuli dengan ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.