KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) hujung minggu ini adalah medan yang cukup kritikal untuk akar umbi berbicara secara telus dan ikhlas khususnya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kelangsungan dan masa depan parti, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu, perhimpunan itu merupakan wadah untuk merapatkan saf, kukuhkan kesatuan serta sama-sama menentukan hala tuju yang jelas demi kestabilan dan masa hadapan parti Melayu terbesar itu.

Tambahnya lagi, perhimpunan itu juga, mestilah berupaya menyerlahkan kestabilan UMNO di setiap peringkat yang berlandaskan semangat kebersamaan; kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti; serta ketaatan kepada pucuk pimpinan parti terutama institusi Presiden.

“Kestabilan ini penting sekiranya kita mahu UMNO diyakini sebagai institusi terbaik untuk memimpin negara serta dilihat sebagai parti yang ikhlas dalam mempertahankan agenda kesatuan Melayu-Islam.

“Kestabilan jugalah akan menentukan jatuh bangun UMNO dalam pilihan raya akan datang. Kestabilan jugalah yang UMNO boleh tawarkan kepada rakyat berasaskan pengalaman yang panjang,” kata bekas Naib Presiden UMNO itu lagi dalam satu kenyataan pada Khamis.

PAU 2020 bakal membuka tirainya Jumaat ini dan buat julung-julung kalinya perhimpunan itu akan diadakan dengan kombinasi secara bersemuka dan melalui maya, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan dirasmikan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka pada 27 Mac.

Sementara, perasmian PAU2020 oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula pada 28 Mac pukul jam 8.30 pagi di Dewan Merdeka.

BACA: PAU 2020: Kombinasi bersemuka dan maya - Ahmad Maslan

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, agenda kesatuan Melayu Islam yang diperjuangkan UMNO di samping kesungguhan membela kaum-kaum lain bukan sahaja akan menjamin kestabilan masa depan UMNO, malah wajib dipertahankan demi melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

“Justeru, semasa bersidang kelak, bincanglah dengan penuh hikmah dan bijaksana. Letakkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Majlis Kerja Tertinggi dan pucuk pimpinan untuk menahkhoda parti ke arah kestabilan yang amat kita perlukan sekarang,” katanya lagi.