KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tetap dengan pendirian mempertahankan tuntutan Pemuda UMNO supaya DAP memohon maaf secara terbuka kepada parti itu, dengan manyifatkan ia sebagai satu cadangan baik.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan sebarang syak wasangka dan kesangsian antara satu sama lain di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Bagi saya tak ada salahnya, ini adalah satu perkara baik, jika DAP boleh membuat permohonan maaf kepada rakyat Sarawak .

"Kita masing-masing (boleh) menilai, kita tak mahu isu ini menjadi punca keretakan dalam kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui semesa lawatan di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa tiada keperluan DAP untuk memohon maaf  kepada UMNO sebaliknya meminta kedua-dua parti bergerak ke hadapan dengan melupakan sengketa lama.

November lalu, DAP membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg jika terdapat sebarang kenyataan oleh pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat negeri berkenaan.

Ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada PAU 2023, Muhamad Akmal Saleh menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.

Pemuda UMNO kekal dengan pendirian tidak menjemput wakil daripada mana-mana parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, selain parti komponen Barisan Nasional (BN).