KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan memecat 11 pemimpinnya termasuk Datuk Zuraida Kamaruddin yang dicanangkan sebagai bakal presiden parti itu sebelum ini.

Dua lagi pemimpin PBM, Haniza Talha dan Daroyah Alwi pula masing-masing digugurkan daripada jawatan timbalan presiden dan ketua wanita tetapi kekal sebagai ahli.

Unit Penerangan PBM berkata, 11 pemimpin itu dipecat kerana gagal memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, tindakan ke atas semua 13 individu itu diambil selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin parti membuat perbincangan lanjut hari ini mengikut Perlembagaan parti.

“Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari, akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM.

“Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27 Disember 2022,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Zuraida sebelum ini dilapor menyifatkan Presiden PBM, Larry Sng sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan PBM selain membuat ugutan.

Awal Oktober lalu, Perhimpunan Agung Tahunan PBM dikatakan membuat keputusan untuk Zuraida secara rasmi akan mengambil alih kepimpinan parti daripada Sng.

Keputusan Perhimpunan Agung Tahunan PBM itu kemudiannya diluluskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu namun Sng menyekat peralihan kuasa itu dan menegaskan beliau masih presiden parti menurut Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Beliau kemudian mengisytiharkan mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang meluluskan peralihan jawatan presiden kepada Zuraida tidak sah dan menggantung jawatannya sebagai pengganti dan 12 anggota parti lain.