Skip to main content

Politik

Pejuang, PCM sah sertai Perikatan Nasional

PN,mesyuarat
Pengerusi PN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) secara rasmi menerima Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai parti anggota baharu gabungan itu selepas permohonan kedua-duanya diluluskan dalam Mesyuarat Tergempar yang diadakan Pejabat Pejabat Agong Pas, malam tadi.

Keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Pejabat Agung Pas di ibu negara.

Menurut Ahmad Samsuri, penyertaan kedua-dua parti itu dipersetujui sebulat suara oleh kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.

“Majlis Tertinggi PN bersetuju menerima Parti Pejuang Tanahair dan Parti Cinta Malaysia sebagai parti anggota baharu dalam gabungan ini selepas meneliti permohonan yang dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang berlangsung lebih dua jam.

Beliau berkata, mesyuarat itu dihadiri wakil daripada semua parti komponen PN bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan hala tuju gabungan tersebut.

Katanya, hanya dua agenda utama dibincangkan dalam mesyuarat itu iaitu berkaitan keanggotaan baharu PN dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Selain menerima permohonan dua parti baharu, mesyuarat turut menyentuh persediaan awal menghadapi PRN Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan beberapa perkara lain membabitkan gabungan itu masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, isu status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN serta penggunaan logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak dibincangkan secara terperinci dan belum diputuskan.

“Perkara berkaitan kedudukan Bersatu dan penggunaan logo gabungan akan dibawa ke mesyuarat akan datang untuk penelitian lanjut,” jelasnya.

Beliau berkata, PN ketika ini memberi keutamaan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan parti komponen serta memperluaskan sokongan melalui penyertaan anggota baharu.

Tambahnya, kemasukan PEJUANG dan PCM dilihat mampu memperkukuhkan lagi kekuatan gabungan itu menjelang beberapa pilihan raya yang bakal diadakan.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan semua keputusan yang dicapai pada mesyuarat malam ini dibuat secara konsensus selepas mengambil kira pandangan setiap parti komponen.

“PN akan terus bergerak sebagai satu pasukan dan memberi tumpuan kepada agenda memperkukuh gabungan demi menghadapi cabaran politik yang mendatang,” katanya lagi.
 

Must Watch Video

Advertisement