Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyifatkan proses pelantikan Timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali, sebagai Menteri Besar Selangor tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Namun, Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan berkata beliau tetap menerima keputusan Sultan Selangor itu dengan hati terbuka dan yakin PKR kekal mempertahankan prinsip demokrasi Raja Berpelembagaan.

Beliau juga mengumumkan menarik diri daripada pencalonan Menteri Besar Selangor.

“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada hari ini telah juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor yang memperkenankan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 ahli Dewan Negeri Selangor dari PKR, DAP dan PAS yang telah memberikan sokongan kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan Pakatan Rakyat kekal sebagai kerajaan di Selangor.

“Saya menghargai kesepakatan 29 ahli Dewan Negeri Selangor ini yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka,” katanya.

Dr Wan Azizah menambah keputusan ini adalah demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin.