KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen dan parti penyokong Perikatan Nasional (PN), menyokong penuh pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menyifatkan pelantikan itu sebagai tepat.

Rata-rata mereka melahirkan pandangan Menteri Pertahanan itu mampu menstabil dan memperkukuh kerajaan dengan pengalaman yang cukup luas di dalam kabinet serta parti, terutama dalam situasi negara sedang mengurus pandemik COVID-19 ketika ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Ismail Sabri diyakini boleh membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengurus negara terutama dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Ia tepat berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang menteri dan menteri kanan sebelum ini, di samping menjadi pemimpin UMNO paling kanan dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

BACA: Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin Menteri Kanan Luar Negeri - PMO

Beliau berkata Pas turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan.

I
Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin Menteri Kanan Luar Negeri - PMO

Pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan, diumumkan oleh Muhyiddin menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri petang Rabu.

Kenyataan itu turut mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan di samping mengekalkan portfolionya sebagai Menteri Luar, dengan pelantikan kedua-dua mereka berkuat kuasa serta-merta.

Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau pula berkata pelantikan itu amanah penting dalam usaha mengukuhkan keberkesanan PN mengekalkan kestabilan dan kematangan politik, serta mengerakkan fokus seluruh jentera kerajaan ke arah PPN.

"Kepada ahli politik semua, kini bukannya masa untuk berperang sesama sendiri ataupun untuk mengisi kehendak politik orang-orang tertentu. PN akan terus kukuh dan mengemudi tanggungjawab hakikinya untuk bersama dengan rakyat dalam membina semula Malaysia yang tercinta ini," katanya.

Sementara itu Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata kerajaan Sabah memberi sokongan penuh kepada Ismail Sabri dan and Hishammuddin dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah dalam kenyataan malam tadi berkata, pelantikan mereka amat tepat memandangkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai pengalaman luas kerana pernah menduduki jawatan kanan dalam negara, dan pada masa yang sama membolehkan Malaysia memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik COVID-19.

BACA: Pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM tenangkan kerjasama parti politik dalam PN

Senada dengan Hajiji, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata pelantikan itu kena pada masanya, terutama dalam memenuhi tuntutan semasa ketika negara sedang berhadapan dengan cabaran hebat COVID-19.

"Pelantikan ini akan mengukuhkan lagi barisan kabinet dan kerajaan. Pelantikan Timbalan Perdana Menteri (Ismail Sabri) yang baharu dan pelantikan Hishammuddin adalah tepat," katanya.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee berkata pelantikan itu akan mengukuhkan lagi kerajaan PN, membolehkan ia memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara supaya ia berlangsung dengan lancar dan pantas, yang sememangnya dituntut rakyat.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan pula berkata pelantikan Ismail Sabri telah diberi pertimbangan sewajarnya, dan ia bukan dibuat secara tergesa-gesa.

"Kenyataan bahawa perdana menteri menghubungi parti yang menjadi rakan kerajaan terlebih dahulu mengenai pelantikan itu jelas menunjukkan kebaikan corak kepimpinannya, yang membezakan beliau daripada lain-lain perdana menteri sebelum ini.

"STAR mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikannya, dan berharap agar pelantikan ini dapat mengukuhkan lagi perkongsian strategik antara Sabah dan kerajaan persekutuan," katanya.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup pula berkata pelantikan itu akan meningkatkan keupayaan kerajaan khususnya dalam memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat dalam tempoh yang sukar ini.

Katanya negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk menghadapi cabaran khususnya mengenai krisis kesihatan, dan semua pihak perlu berganding bahu serta bekerjasama dalam menangani pandemik demi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata beliau yakin bahawa kedua-dua tokoh dari UMNO itu mampu mentadbir dan merealisasikan usaha kerajaan sekali gus mengubah landskap negeri dalam mendepani pandemik COVID-19 serta memacu ekonomi negara ke tahap yang realistik.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui ditemui semasa melawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hari ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu berkata usaha itu bukan hanya bagi bagi menangani COVID-19, tetapi juga membantu dalam mendepani cabaran ekonomi negara ketika ini.

Berkongsi pandangan, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata pelantikan dua pemimpin itu akan membawa impak yang lebih baik dalam peningkatan prestasi dan keupayaan kerajaan secara keseluruhan.

"Saya mewakili Kerajaan Negeri Kedah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas pelantikan sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang juga akan mengetuai Kluster Keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Rakan kabinet yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengucap tahniah kepada kedua-dua pemimpin itu.

Azmin melalui laman Facebook dan Twitternya berkata, dengan pengalaman dan kewibawaan yang dimilki Ismail Sabri dan Hishammuddin, ia akan memperkukuh kerajaan dan meningkatkan kemakmuran negara.

-- BERNAMA