SEREMBAN: Pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini pihaknya lebih memberi fokus terhadap gerak kerja dan strategi untuk memenangi kerusi di negeri berkenaan pada pilihan raya itu.

Malah jelasnya, keputusan pembahagian kerusi itu hanya diputuskan di peringkat pusat blok BN dan PH dan proses rundingan kerusi sedang berjalan di peringkat negeri-negeri terlibat.

"Pembahagian kerusi itu memang kita belum buat lagi kerana saya dah bagitahu tempoh hari biar kita buat gerak kerja dahulu, kalau kita cerita pasal kerusi nanti memang akan masalah, kerusi ini nanti kita buat pembahagian selepas DUN dibubarkan.

"Kalau sekarang bercakap soal kerusi, memang masing-masing tidak mahu beralah, lama-lama kita akan bergaduh sesama sendiri, tidak guna.. jangan cerita tentang kerusi dulu tetapi fikirkan bagaimana kita nak menang dibawah Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman keluarganya di Kampung Tanjong, Rantau di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Speaker Dewan Undangan Negeri(DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Dalam pada itu, Mohamad turut menegaskan, pihaknya tidak mengizinkan perundingan dibuat secara individual kerana perundingan itu adalah antara BN dan PH, bukan BN dengan Parti Amanah, atau UMNO dengan PKR. Rundingan kerusi antara dua parti iaitu Blok BN dan PH.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, hubungan BN dan PH tidak terjejas susulan kenyataan yang disifatkan 'loose cannon' iaitu merujuk kepada isu dibangkitkan oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad supaya Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ujarnya, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar bagi menjaga keharmonian rakan komponen dalam parti.

"Setiap dalam satu parti itu memang ada 'loose cannon'...tetapi statement itu tidak sepatutnya keluar, kalau kita nak menjagakan keharmonian kita tidak bercakap seperti itu yang boleh memberikan kesan negatif kepada rakan-rakan kita," katanya.