MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pembangkang mula melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah tidak berasas dalam usaha mengemis undi daripada pengundi.

Mereka, terutama anak muda pembangkang langsung tidak ada rasa segan silu dan bertertib apabila menyerang pemimpin UMNO dengan dakwaan yang tidak sahih kebenarannya.

Inilah yang terjadi terhadap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Kewangan II yang turut menjadi mangsa kekejaman fitnah pembangkang.

Seorang anak muda yang agaknya baru bertatith dalam dunia politik, bernama Syed Badli Shah Syed Osman daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan serangan fitnah memburukkan imej dan reputasi Johari.

Barangkali dengan jawatannya selaku Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syed Badli mahu dilihat sebagai popular menerusi laman-laman media sosial.

Barangkali juga beliau sememangnya ghairah untuk bercakap dan secara tiba-tiba muncul di khalayak Titiwangsa untuk menyerang Johari kerana PRU14 semakin hampir.

Mungkin beliau mengidam supaya dicalonkan sebagai wakil PKR menentang UMNO dan kemungkinan Pas di Titiwangsa.

Ada yang bertanya, siapa dia Syed Badli, daripada mana asal kampung halamannya, lahir di Wilayah Persekutuan, Kedah atau Johor?

Sebabnya, penduduk di Kampung Baru mahupun di Parlimen Titiwangsa tidak kenal siapa dan dari mana asal usul Syed Badli ini.

Itu pertanyaan warga Kampung Baru sebaik sahaja kecaman beliau terhadap Johari, yang memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU ke-13 menewaskan calon Pas, Ahmad Zamri Asaad khuzaimi.

Ada juga yang bertanya, apakah secara mendadaknya Syed Badli menyerang Johari di Titiwangsa petanda beliau mahu menonjolkan diri agar terpilih sebagai calon Pakatan Harapan pada PRU ke-14 ?

Itu persepsi, pandangan dan kekesalan pengundi Titiwangsa terhadap Syed Badli kerana menyerang Johari tanpa fakta dan asas yang kukuh, sekadar meluahkan rasa geram.

Pengundi Titiwangsa majoritinya menyayangi Johari kerana khidmatnya sebagai wakil rakyat amat cemerlang.

Apabila Ahli Parlimen mereka diserang membabi-buta, tentunya mereka akan berasa marah dan terhina.

Pengundi Titiwangsa agak sakit hati kepada Syed Badli yang secara tiba-tiba menyerang Johari, yang setiap Jumaat menyantuni rakyat di Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa, terletak di Kampung Pandan.

Malah Johari setiap Jumaat bersedia menemui pengundi Titiwangsa bertanyakan keluh kesah mereka, membantu yang memerlukan bantuan dan saban minggu mengambil peluang bertemu rakyat di masjid-masjid.

Saya terpanggil menjawab tuduhan liar Syed Badli dan saya juga terpanggil untuk mempertahankan kedudukan Johari kerana saya sendiri sejak sekian lama merupakan pengundi di Parlimen Titiwangsa.

Kerana saya pengundi di Titiwangsa, mengapa pula Syed Badli suruh saya diam? Mengapa saya akan membiarkan dia menyerang Johari dengan cerita auta ?

Saya menjadi pengundi di Titiwangsa di zaman Datuk Seri Dr Suleiman Mohamad yang pada ketika itu barangkali Syed Badli masih lagi di bangku sekolah.

Saya sudah merasai arus pembangunan di Parlimen Titiwangsa khususnya di Kampung Baru, termasuk sepenggal di bawah wakil rakyat PAS, Allahyarhamah Dr Lolo Mohd. Ghazali yang menang pada PRU ke-12.

Saya kenal siapa Johari dan saya tahu sejauh mana iltizam beliau membangunkan Titiwangsa, kawasan Parlimen yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.

Malah saya kagum dengan usaha beliau untuk membangunkan Kampung Baru, yang merupakan lokasi atau perkampungan Melayu paling strategik di tengah bandar besar Kuala Lumpur.

Ingin saya nyatakan di sini, sewaktu Titiwangsa diwakili oleh PAS, langsung tidak ada sebarang perancangan dan pembangunan untuk rakyat terutama di Kampung Baru.

Pas hanya menerima dengan apa yang telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya.

Biarpun baru sepenggal Johari mewakili Parlimen Titiwangsa, tetapi beliau berupaya meningkatkan pelbagai kemudahan dan prasarana untuk dinikmati penduduk setempat.

Beliau merupakan contoh pemimpin muda yang mempunyai wawasan dan perancangan teliti terhadap pembangunan negara dan rakyat.

Memang kadangkala usaha yang dilakukan itu tidak akan dinikmati dalam jangka masa pendek, dan inilah yang gagal difahami oleh pembangkang termasuk Syed Badli.

BACA: Pembangkang cuba 'cah keting' kerusi Johari di Titiwangsa - Syed Ali

BACA: Johari lemah kerana gagal selesaikan isu Kampung Baru - AMK

Mengenai dakwaan kononnya kawasan parkir kereta di Kampung Baru terlalu sesak dan tidak terurus, memang diakui benar situasi sedemikian berlaku.

Tetapi kesesakan kenderaan termasuk masalah parkir di Kampung Baru kerana orang ramai terutama dari luar Kampung Baru berpusu-pusu ke kawasan terbabit kerana terdapat pelbagai jenis perniagaan terutama makanan.

Betulah dakwaan Syed Badli bahawa Kampung Baru akan sesak di waktu puncak!

Kampung Baru sememangnya terkenal sebagai lokasi makanan dengan pelbagai juadah masakan daripada segenap negeri termasuk citarasa Thailand.

Keunikan dan keistimewaan itulah menyebabkan Kampung Baru menjadi sesak dan sukarnya mendapat ruang parkir kerana menjadi tumpuan orang ramai. Keadaan sebegitu sememangnya perkara lumrah.

Pembangkang sepatutnya berbangga kerana ekonomi yang baik dan kuasa membeli rakyat, menyebabkan mereka mampu berbelanja dan menikmati juadah bersama keluarga di Kampung Baru, biarpun kadangkala harganya agak mahal.

Itulah nikmat pembangunan negara dan itulah juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih mampu berbelanja dan menikmati keselesaan di bawah kerajaan BN.

Saya juga tertarik dengan tuduhan kononnya ada warga asing berniaga di Kampung Baru.

Tanggapan sedemikian terlalu prejudis kerana kemungkinan sebahagian peniaga di penduduk asal Kampung Baru, berketurunan daripada Indonesia dan barangkali mereka sudahb memiliki taraf pemastautin tetap (PR).

Syed Badli meminta saya diam daripada membela Johari, kenapa beliau suruh saya diam?

Logiknya, selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Pesrekutuan, saya pasti akan bangkit mempertahankan Johari, begitu juga mana-mana pemimpin UMNO.

Saya akan bangun tanpa rasa takut, saya akan bingkas tanpa segan kerana saya sentiasa berpegang kepada prinsip kebenaran.

Malah saya akan menjawab apa juga tuduhan pembangkang termasuk anak muda setahun jagung seperti Syed Badli yang secara tiba-tiba mahu jadi popular dengan memfitnah Johari.

Untuk pengetahuan pembangkang, saya tidak akan diam jika pemimpin UMNO diserang tanpa asas dan sekadar tuduhan jahat.

Selaku Ahli Parlimen Titiwangsa dan Menteri Kewangan II, Johari terbukti telah berjaya menjalankan tanggungjawab untuk memaju dan membangunkan kawasan berkenaan termasuk Kampung Baru sebagai lokasi di tengah bandar yang lestari dan kondusif di masa akan datang.

Menyedari itulah, secara tidak langsung Menara Yayasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terletak di Kampung Baru menjadi pembangkin kepada pembangunan di kawasan Parlimen tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai perancangan yang cukup berkesan dengan memindahkan yayasan tersebut, yang dulunya terletak di Bangunan DBKL.

Secara kebetulan, Johari juga turut berada dalam Ahli Lembaga Yayasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ini secara jelas membuktikan bahawa kerajaan BN termasuk Johari begitu komited untuk membangunkan Parlimen Titiwangsa khususnya Kampung Baru.

Kepada pembangkang terutama anak muda seperti Syed Badli, jangan terlalu beretorik dan bercerita dengan tuduhan dan andaian 'atas angin' yang tidak mampu dilihat rakyat.

Berpijaklah ke alam nyata dan jangan terlalu ghairah untuk menjadi popular serta tergamak menyerang orang lain dengan tuduhan yang terlalu naif dan sukar dipercayai.

Pengundi di Parlimen Titiwangsa termasuk saya, lebih memerlukan Johari selaku wakil UMNO di Titiwangsa daripada pembangkang, yang riuhnya tidak ke mana!



* Datuk Seri Syed Ali Alhabshee adalah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, merangkap Ketua UMNO Bahagian Cheras.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.