POLITICS
Pemilihan PKR 2025: Tandinglah dengan cara terhormat - Sathia Prakash

Dr Sathia berkata semua calon dan anggota perlu mengelakkan budaya memburukkan kepimpinan serta menjauhi politik fitnah yang boleh memecahbelahkan parti. - Foto Sathia Prakash
KUALA LUMPUR: Calon Naib Presiden PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan menyeru seluruh anggota parti dan calon yang bertanding pada pemilihan parti kali ini menjunjung tinggi nilai integriti, kesetiaan, dan kematangan politik.
Ringkasan AI
- Calon Naib Presiden PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan, menekankan pentingnya integriti, kesetiaan, dan kematangan politik dalam pemilihan, serta menolak budaya memburukkan kepimpinan demi kepentingan peribadi.
- Beliau menegaskan bahawa PKR dibina atas perjuangan rakyat dan tidak boleh diperalatkan untuk agenda peribadi, sambil menekankan bahawa kritikan membina adalah sebahagian daripada demokrasi, tetapi fitnah boleh merosakkan parti.
- Dr Sathia menyambut baik pertandingan jawatan tetapi menyeru agar pemilihan dijadikan medan memperkukuh PKR, bukan saling menjatuhkan, serta menghormati kepimpinan yang telah membawa parti ke tahap sekarang.
"Parti ini dibina atas darah, keringat dan air mata rakyat.
"Pengkhianatan dari dalam ‘musuh dalam selimut’ tidak boleh diterima. Tiada ruang untuk mereka yang memperalatkan parti demi agenda sendiri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dr. Sathia menambah kepimpinan wujud kerana kepercayaan akar umbi dan sokongan tersebut tidak sepatutnya dikhianati dengan tindakan yang melemahkan parti.
Tegas beliau, semua anggota dan calon wajib menjunjung prinsip dan tidak tunduk kepada permainan fitnah.
"Kita tidak boleh hanya mencari silap dan lupa jasa. Kepimpinan terdahulu telah membuka jalan, kini tanggungjawab kita untuk memperkukuh legasi itu dengan kesetiaan dan iltizam, bukan caci maki.
"Kita dikenali hari ini kerana nama besar yang kita bawa PKR. Tanpa platform ini, siapalah kita? Maka jangan gigit tangan yang memberi, dan jangan lupakan dari mana kita bermula," katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik pertandingan jawatan tetapi bukan untuk menjatuhkan sesama sendiri, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan PKR.
"Jika kita benar-benar ikhlas, kita tidak akan mencalar imej parti sendiri.
"Kepimpinan yang bertungkus-lumus membawa kita ke tahap ini layak diberi hormat dan ruang, bukan pengkhianatan," ujar beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami