KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menang dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Ampang, selepas kiraan semula dibuat.

Memetik laporan BH Online, Altimet, memperolehi 743 undian berbanding pesaingnya Datuk Hans Isaac yang memperoleh 734 undi.

Ia sekali gus mengepikan Hans yang sebelum ini dilaporkan memenangi jawatan itu pada 1 Julai lalu, selepas pemilihan semula diadakan berikutan kes salah laku pengundian di cabang tersebut pada 21 Mei.

Menurut BH Online, Kemenangan itu turut disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP), Dr Zaliha Mustafa ketika dihubungi.

"Ya, (keputusan adalah muktamad). Ia baru dinaikkan (dalam laman web Pemilihan PKR 2022) malam tadi," katanya sebagai dipetik portal berkenaan.

Ini merupakan kali ketiga keputusan bagi jawatan Ketua Cabang Ampang itu mengalami perubahan sejak pemilihan tahun ini diadakan.

Pada 1 Julai lalu, Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, dilaporkan memenangi jawatan itu selepas berjaya memperolehi 748 undi.

BACA: Pemilihan PKR: Hans Isaac pecah tradisi, menang Ketua Cabang Ampang

Beliau menewaskan Altimet dengan perbezaan dua undi apabila menyaksikan penyanyi rap itu meraih 746 undi.

Sebelum itu pula, Daing Muhammad Reduan Bachok pada 29 lalu, dilaporkan menewaskan Hans dan Altimet.

Beliau menerima jumlah undian tertinggi dengan 942 undi, manakala Hans dan Altimet masing-masing mendapat dengan 609 undi dan 589 undi.

Bagaimanapun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing Muhammad terlibat dalam kegiatan "membeli undi”.

BACA: Pemilihan PKR: Nama Daing digugurkan, cabang Ampang bakal adakan pengundian semula

Pada Pemilihan PKR 2018, jawatan Ketua Cabang Ampang dimenangi oleh Datuk Zuraida Kamaruddin.

Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR pada 2020 dan bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Pemilihan PKR 2022 berlangsung sejak 13 Mei lalu dan berakhir pada 22 Mei lalu.