POLITICS
Pemilihan PKR: Rodziah jemput Fadhlina untuk berdebat

Calon Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rodziah Ismail (kiri) mempelawa Menteri Pendidikan Fadhlina sidek untuk berdebat mengenai masa depan wanita. - Gambar fail
KOTA BHARU: Calon Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rodziah Ismail mempelawa Menteri Pendidikan Fadhlina sidek untuk berdebat mengenai masa depan wanita.
Ringkasan AI
- Pelawaan Debat oleh Rodziah Ismail: Calon Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail, mencabar Fadhlina Sidek untuk berdebat mengenai masa depan wanita, termasuk strategi meningkatkan bilangan Ahli Parlimen wanita dalam parti.
- Persaingan Jawatan Ketua Wanita PKR: Rodziah sekali lagi bertanding menentang Fadhlina selepas tewas tipis dalam pemilihan 2022 dengan perbezaan 32 undi.
- Nurul Izzah Anwar, calon Timbalan Presiden PKR, memilih untuk menolak debat dengan Rafizi Ramli bagi mengelakkan ketegangan dan lebih fokus kepada menyantuni perwakilan serta akar umbi parti.
"Jadi hari ini saya nak menjemput Ketua Wanita Pusat sekarang untuk berdebat dengan saya tentang masa depan wanita, Kita akan tengok apakah hala tuju masa depan yang kita nak bawa untuk wanita.
"Macam mana cara untuk menaikkan daripada empat ahli Parlimen wanita untuk kita naikkan dan nobatkan wanita kita supaya menang lebih banyak kerusi," katanya.
Tambahnya lagi, PKR seharusnya melaksanakan pelbagai program sebagai usaha untuk meningkatkan parti yang sudah mencecah dua dekad itu.
"Dulu kita tak ada kerajaan, sekarang kita menang kerajaan pusat, mana perginya program-program wanita keadilan yang lebih baik yang patutnya kita buat, kan?
"Bukan sekadar kita bagi duit kepada badan bukan kerajaan (NGO) tidak, kita perlu melaksanakan banyak lagi program-program yang terbaik," katanya lagi.
Untuk rekod, ini merupakan pusingan kedua pertembungan antara Rodziah dan Fadhlina apabila beliau telah tewas dengan majoriti 32 undi semasa pemilihan parti 2022.
Fadhlina mendapat 18,923 undi, manakala Rodziah 18,891.
Sebelum ini media melaporkan Calon Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar telah menolak pelawaan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli selaku penyandang jawatan tersebut untuk berdebat atas faktor untuk mengelakkan ketegangan.
Menurut Nurul Izzah keutamaan beliau kini adalah untuk menyantuni perwakilan dan mendekati akar umbi parti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami