POLITICS
Pemilihan PKR: Terserah kepada Nurul Izzah, Rafizi putuskan untuk berdebat - Saifuddin

Saifuddin Nasution(kiri) bercakap pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2024 di Puspanitapuri hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan kepada kedua-dua calon Timbalan Presiden PKR sama ada mahu meneruskan debat atau sebaliknya, dalam siri kempen mereka bagi pemilihan parti sesi 2025-2028.
Ringkasan AI
- Debat Timbalan Presiden PKR: Saifuddin Nasution menyerahkan kepada calon, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli, untuk menentukan sama ada mahu meneruskan debat terbuka dalam kempen pemilihan parti.
- Pemilihan Kepimpinan PKR: Jawatan Timbalan Presiden menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Rafizi dan Nurul Izzah, manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden. Sebanyak 12 calon bertanding bagi jawatan Naib Presiden.
- Kongres Nasional PKR: Kongres PKR akan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei 2025 di Johor Bahru, dengan pengundian bagi pimpinan pusat dijadualkan pada 23 Mei.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang bersaing bagi jawatan Timbalan Presiden, menolak pelawaan debat terbuka yang dicadangkan penyandangnya, yang juga Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Pemilihan jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Rafizi dan Nurul Izzah, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden.
Bagi jawatan Naib Presiden, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor).
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula tidak dicabar untuk menang jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), manakala Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang) berebut jawatan Ketua Wanita PKR.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, Johor, dengan pengundian bagi pimpinan pusat ditetapkan pada 23 Mei.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami