KUALA LUMPUR: Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 menyaksikan lapan calon sah merebut jawatan Naib Presiden parti itu.

Dua daripada calon itu ialah penyandang jawatan berkenaan iaitu Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tiga lagi calon ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut bertanding Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Nama calon yang bertanding bagi jawatan itu diumumkan dalam majlis di sebuah hotel di sini malam ini, yang turut dihadiri oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.