KUALA LUMPUR: Selepas 24 jam krisis Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dilihat barisan pemimpin Barisan Nasional (BN) tarik sokongan kepada Menteri Besar, timbul persoalan hubungan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
Terbaharu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memuat naik gambar Perdana Menteri Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu ketua parti dalam kerajaan.
Advertisement
Turut dilihat dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha DAP, Anthony Loke.
Fahmi yang memuat naik gambar tersebut dengan kapsyen ringkas "Pertemuan Berlangsung".
Tiada sebarang perincian dalam hantaran gambar di media sosial menteri komunikasi tersebut.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan bakal mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu politik yang melibatkan Negeri Sembilan.
Perkembangan itu hadir susulan kemelut di negeri berkenaan apabila sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dikatakan telah menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar.
Dalam masa sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau akan terus menjalankan tugas seperti biasa selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau turut memaklumkan bahawa pentadbiran negeri akan diteruskan tanpa sebarang gangguan sehingga terdapat keputusan muktamad mengenai kedudukan politik semasa.
Situasi itu bertambah hangat apabila 14 ADUN BN Negeri Sembilan dilaporkan menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau, sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sedia ada.