Pentadbiran kerajaan Pas Kelantan yang didakwa pincang oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa mungkin ada kebenarannya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Husam lebih mengetahui masalah dalam pentadbiran kerajaan negeri itu kerana beliau adalah bekas anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) dan individu penting dalam Pas.

"Orang kata kerajaan ini (Kelantan) yang terbaik tetapi yang pastinya mereka juga ada kelemahan daripada segi dasar-dasar berkaitan alam sekitar, pembalakan, pelaksanaan lebuh raya rakyat, projek Lembah Sireh, perumahan kos rendah dan banyak lagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Husam yang juga bekas Naib Presiden Pas, yang terus mendedahkan kepincangan pentadbiran kerajaan Kelantan termasuk dalam ceramahnya di Bandar Satelit, Pasir Tumboh di sini, Jumaat lepas.

Mustapa berkata melalui pendedahan Husam itu, orang ramai kini mengetahui bahawa kerajaan Kelantan ada kelemahannya.