Mengadaptasi Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 kesempatan terbaik untuk UMNO mengubah tanggapan dan memperbetulkan persepsi umum terhadap amalan dalam parti selama ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat menegaskan, sokongan UMNO terhadap NACP dapat diterjemahkan dengan membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin parti.

"Kami yakin bahawa rasuah politik dapat dibanteras sama sekali dan hanya pemimpin-pemimpin yang bersih dan berwibawa sahaja akan dinaikkan di dalam parti. (Selama ini jika aduan polis atau SPRM dibuat maka keahlian parti si pengadu itu akan dilucutkan secara automatik).

"Kini ia kan menjadi mercu tanda di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan mempamerkan keikhlasan dan ketegasan dalam niatnya untuk membenteras rasuah yang selama ini diamalkan oleh pimpinan lapisan atasan dan 'warlords' setiap kali berlakunya pemilihan di dalam parti.

"Lembaga Jawatankuasa Disiplin UMNO juga boleh meneliti saranan-saranan yang terkandung dalam NACP tersebut sebagai rujukan untuk menangani budaya politik wang secara lebih serius," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

BACA: Kaji kemungkinan akta baharu kawal dana politik - Tun Mahathir

BACA: Wujudkan Lembaga Disiplin bukan daripada MT UMNO - Tengku Putra

Pada Selasa, UMNO menyatakan sokongan kepada inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan NACP.

Mohamad yang kini Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, NACP adalah satu pelan terbaik sejajar usaha memerangi budaya rasuah dengan memastikan gejala tidak bermoral itu dapat dibendung, sekali gus dihapuskan.

Dalam pada itu kata Tengku Putra, rasuah politik dan budaya 'warlord' di dalam UMNO juga akan dapat dihapuskan dengan lebih cepat dan tepat jika hukuman penjara dijadikan sebagai pertaruhan.

"Kalau tiada tangan yang memberi maka tiadalah yang akan menerima," tegasnya.

Sebelum ini, Tengku Putra mencadangkan Lembaga Disiplin UMNO perlu diwujudkan dengan barisan pengerusi dan ahli jawatankuasa yang tegas dan bukan daripada kalangan Majlis Tertinggi (MT) parti semata-mata.

Katanya, SPRM juga perlu dibenarkan membuat siasatan susulan dan mengambil tindakan undang-undang.

Jelasnya, ia seharusnya dijalankan apabila jawatankuasa disiplin berkenaan mengenal pasti mereka yang bersalah dan menyerahkan hasil keputusan kepada SPRM.