KUALA LUMPUR: Penubuhan sayap baharu parti Bersatu, Srikandi Muda yang memberi fokus kepada wanita berusia 35 tahun ke bawah dan memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang akan menjadi agenda utama perhimpunan agung tahunan parti berkenaan Sabtu ini.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata penubuhan sayap Srikandi Muda akan melibatkan pindaan Perlembagaan Bersatu yang bakal dimuktamadkan pada perhimpunan kali ini.

"Apabila diluluskan kita akan lantik (jawatankuasa) penaja bagi Srikandi Muda yang akan mula (berkhidmat) tahun hadapan," katanya pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini pada Khamis.

Beliau berkata pada masa ini Bersatu mempunyai ahli wanita di bawah 35 tahun dan Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini menunjukkan ramai wanita muda yang menyokong perjuangan Bersatu, oleh itu sayap khusus iaitu Srikandi Muda membolehkan fokus diberikan kepada golongan ini.

Katanya perhimpunan agung Bersatu kali ini akan mencatat sejarah apabila anggota bukan Melayu terdiri daripada ahli jawatankuasa penaja sayap bersekutu Bersatu akan hadir pada Ahad.

Hamzah berkata topik lain yang akan dibincangkan dalam perhimpunan agung tahunan kali keempat Bersatu ialah memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia dengan sikap terbuka.

"Ini supaya wujud landskap baharu dalam negara dengan semua rakyat Malaysia mempunyai kepentingan masing-masing dan tidak ada permusuhan kaum," katanya.

Beliau berkata seramai 1,600 perwakilan Bersatu dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan agung tahunan yang diadakan secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Sabtu dan Ahad ini.

Hamzah berkata perhimpunan akan dimulakan dengan perasmian perhimpunan sayap-sayap parti iaitu Armada dan Srikandi oleh Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 18 Disember.

Katanya, ia diikuti perhimpunan agung parti dengan ucapan dasar Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin keesokan harinya.

Beliau berkata Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berlangsung dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan perwakilan dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19 di rumah dan di lokasi perhimpunan.

-- BERNAMA