Skip to main content

Politik

Perbaiki infrastruktur, atasi keciciran pelajaran fokus utama Maszlee di Puteri Wangsa

BERNAMA
Isu infrastruktur seperti kesesakan lalu lintas yang kronik serta keciciran pelajaran dalam kalangan remaja merupakan antara cabaran kritikal yang menjadi fokus utama Maszlee dalam kempennya di kerusi DUN Puteri Wangsa. - Gambar Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Isu infrastruktur seperti kesesakan lalu lintas yang kronik serta keciciran pelajaran dalam kalangan remaja merupakan antara cabaran kritikal yang menjadi fokus utama Maszlee Malik dalam kempennya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, selain masalah kesesakan jalan raya dan banjir kilat di kawasan seperti Kangkar Tebrau dan Kampung Maju Jaya, kualiti jalan raya yang buruk turut menjadi perhatian serius selepas beliau melakukan tinjauan sendiri baru-baru ini.

“Saya rasai sendiri memandu (Perodua) Myvi, memang terhentak-hentak, kalau naik motosikal lagi sengsaralah, tapi itu yang mereka hadapi setiap hari," katanya dalam temu bual eksklusif kepada Bernama baru-baru ini.

Maszlee berkata, penyelesaian terhadap isu infrastruktur berkenaan memerlukan pendekatan holistik melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bukannya tindakan secara ad hoc.

Selain aspek fizikal, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan menyuarakan kebimbangan terhadap trend keciciran pelajaran dalam kalangan anak muda di kawasan itu yang lebih tertarik untuk menceburi ekonomi gig atau bekerja sebagai buruh kasar di Singapura kerana kadar pertukaran mata wang yang tinggi.

“Masalah keciciran pelajaran ini kerana ada tanggapan bahawa kalau mereka tak habis belajar pun boleh kerja kat ekonomi gig, rider dan sebagainya. Itu nombor dua, nombor satu kalau mereka tak belajar pun, mereka boleh pergi kerja Singapura.

“Hatta jikalau mereka menjadi pekerja buruh 4D (kotor, berbahaya, sukar, merendahkan martabat) pun, bayarannya tiga kali ganda,” katanya.

Beliau berkata, tekanan kos sara hidup dan harga rumah yang tinggi bagi golongan muda di kawasan sekitar turut menjadi bebanan berikutan kuasa beli komuniti yang bekerja di Singapura melonjakkan harga pasaran tempatan.

“Isu-isu ini perlu penyelesaian holistik. Penyelesaiannya tak boleh di peringkat kerajaan negeri atau DUN semata-mata," katanya.

Sehubungan itu, Maszlee menekankan pentingnya sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan perancangan ekonomi dan pembangunan dapat diselaraskan demi manfaat penduduk setempat.

Kerusi DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan Maszlee (PH), Rashifa Aljunied (MUDA), Teow Chia Ling (Barisan Nasional), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan Wang Wee Siong (Bebas).

Sebanyak 172 calon bertanding dalam PRN Johor yang akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

N41: PUTERI WANGSA - 128,723

1. Nicholas Paul Vincent  (Bersama)

2. Wang Wee Siong         (Bebas/IND)

3. Dr Maszlee Malik         (PH-PKR)

4. Rashifa Aljunied           (MUDA)

5. Teow Chia Ling            (BN-MCA)

(2022: Amira Aisya Abd Aziz: MUDA: Maj: 7,114)

 

 

Must Watch Video

Advertisement