KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli Parlimen seperti mana yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menjelaskan, PN masih kerajaan yang sah dengan sokongan parti di dalam gabungan berkenaan.

Katanya, ia termasuk daripada 40 Ahli Parlimen UMNO-Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 32, Pas (18), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Solidariti Tanah Airku (STAR) (1), Bebas (3) dan dua lagi dari Sabah.

"Rakyat juga saya rasa tidak mahu pertukaran kerajaan pada masa ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu berundur sebagai perdana menteri seperti yang dimahukan pembangkang.

"Kepentingan negara harus diutamakan dengan tumpuan kerajaan semasa untuk menjalankan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengurangkan impak negatif akibat pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA: Kerajaan PN masih dapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen - Ismail Sabri

Rangkuman kandungan menarik Mesyuarat Khas Parlimen di Sisi TV Parlimen

Sebelum ini, Ismail Sabri yang mengesahkan perkara tersebut berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini.

"Situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik COVID-19. Sama-sama kita berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera," kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu kata Kamarul Zaman, cubaan pembangkang yang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen juga tidak perlu dilayan dan sekadar membuktikan kerakusan mereka dengan agenda merebut kuasa.

"Sayang sekali bila ruang diberi untuk mereka memberikan cadangan bagi membantu memulihkan negara melalui Mesyuarat Khas Parlimen disiakan kerana obsesi mereka untuk menukar kerajaan.