KUALA LUMPUR:Satu gabungan baharu perlu ditubuhkan untuk menentang pentadbiran pemimpin-pemimpin kleptokrat, berbanding kerjasama yang hanya bermatlamatkan kuasa politik, kata Timbalan Presiden Penaja Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.

Marzuki berkata, gabungan baharu itu tidak terhad kepada parti politik sahaja, tetapi harus turut merangkumi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak boleh menerima amalan itu.

"Inilah usaha yang mahu kita perjuangkan dan kita yakin, setiap pemimpin politik yang berpegang kepada prinsip akan bersama menghalang kleptokrat-kleptokrat dari menerajui negara dan juga pemimpin politik yang mengamal rasuah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kecelaruan politik bermula apabila Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan yang membawa tertubuhnya Perikatan Nasional (PN) yang didukung oleh Muafakat Nasional (MN) serta Barisan Nasional (BN).

Katanya, naratif yang digunakan untuk menjatuhkan PH adalah DAP mengawal pergerakan dan keputusan yang dibuat pemimpin Melayu dalam kerajaan.

Marzuki juga mendakwa PN mahu menghalang Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri tanpa melalui proses yang betul.

"Jika Anwar mempunyai sokongan majoriti, dia perlu diterima sebagai perdana menteri. Jika PN tidak mahu menerimanya, maka mereka perlu buktikan di Parlimen bahawa dia tidak mendapat sokongan majoriti.

"Itulah asas yang sepatutnya kita lalui. Sebaliknya, Muhyiddin Yassin dan PN memilih untuk menjadi perdana menteri dan menubuh kerajaan," katanya lagi.

Marzuki berkata, kecelaruan politik itu terus berpanjangan setelah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dimana berlaku pertikaian siapa yang lebih berhak menjadi Ketua Menteri, sama ada dari PN atau BN.

Katanya, tidak lama setelah kemelut Sabah ditenangkan, kecelaruan terjadi pula di Perak.

"Kecelaruan ini berterusan apabila sekarang UMNO bersedia bekerjasama dengan DAP dan lain-lain parti dari PH untuk menubuh Kerajaan Perak yang baharu.

"Di sebelah lain, DAP pula, yang sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan UMNO yang dipimpin oleh kleptokrat serta dilabel sebagai pendukung ketuanan Melayu, bersedia bekerjasama," katanya.

Marzuki berkata, kredibilti Anwar dan beberapa ahli Parlimen dalam PH tercalar teruk apabila tidak meminta undi belah bahagi untuk peringkat dasar Belanjawan 2021.

Katanya, tindakan Anwar dan beberapa ahli Parlimen dari PH dan Bebas begitu menghampakan penyokong-penyokong dan rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan PN dan kepimpinan Muhyiddin.

"Berlatarbelakangkan kesemua ini, kami berasa sudah sampai masa kita berusaha membawa rakyat keluar dari kecelaruan akibat daripada gabungan dan perikatan antara parti-parti yang wujud semata-mata untuk mendapat kuasa, tetapi berselindung di belakang slogan agama, bangsa dan tanah air.

"Kita perlu menubuhkan gabungan baharu yang berpegang kepada perjuangan iaitu untuk menyekat kleptokrat dan sekutu-sekutu baru mereka yang bersedia melakukan rasuah untuk berkuasa," katanya.

 
Sumber Facebook marzukiyahyaofficial