Pakatan Harapan (PH) yang julung kalinya bertanding menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, dijangka menang selesa, dalam suasana dilihat kurang menonjol meskipun tempoh berkempen adalah panjang, susulan sikap kurang acuh pengundi.

Penganalisis politik meramalkan peratusan pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Sabtu ini adalah rendah, mengulangi apa yang berlaku di PRK DUN Sg. Kandis pada 4 Ogos.

Menurut pengulas politik Tang Ah Chai, pengundi tidak begitu teruja untuk keluar mengundi pada PRK ini berbanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas, susulan diadakan dalam jarak tempoh kira-kira empat bulan sahaja.

Beliau berkata pengundi juga rasa kurang bersemangat kerana apa juga keputusannya, ia tidak akan memberikan impak di Dewan Undangan Negeri Selangor, dengan Pakatan Harapan kini menguasai dengan majoriti besar 51 daripada 56 kerusi.

"PH mempunyai peluang besar untuk memenangi kerusi DUN ini. Lagipun, aura mendiang ADUN (Eddie Ng Tien Chee) masih kuat. Pengundi Balakong menyanjungi beliau dan sentimen ini memberi kelebihan kepada PH berbanding MCA," katanya.

Calon PH daripada DAP Wong Siew Ki berdepan Tan Chee Teong daripada MCA dalam PRK DUN Balakong pada 8 September ini.

Pilihan raya kecil itu juga adalah satu pembaharuan bagi MCA yang juga menggunakan lambang sendiri buat pertama kalinya.

Tang berkata walaupun memilih untuk tidak menggunakan lambang Barisan Nasional (BN), MCA masih gagal menarik sokongan pengundi di Balakong, sambil menambah ketidakupayaan parti itu untuk melakukan perubahan telah memburukkan lagi hubungannya dengan masyarakat Cina yang sememangnya telah lama renggang.

"Walaupun MCA menggunakan logonya sendiri, masyarakat Cina masih melihatnya sebagai sebahagian daripada BN. Mereka berpendapat MCA lemah dan tidak mempunyai pendirian tegas berhubung kedudukan dan hala tuju mereka dalam BN," katanya.

Kawasan DUN Balakong diwujudkan dan dipertandingkan buat pertama kali pada 1995, dan bagi tiga penggal berturut-turut dimenangi Datuk Hoh Hee Lee daripada MCA yang bertanding atas tiket BN.

Pada 2008, kawasan DUN itu yang didominasi pengundi Cina ditawan oleh DAP, yang ketika itu parti pembangkang, dan sejak itu telah mempertahankan kerusi itu dengan undi majoriti besar.

Dalam PRU14 pada 9 Mei lepas, Ng yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai, telah mengekalkan kerusi itu dengan majoriti besar 35,538 undi.

Penganalisis politik Datuk Dr Cheah See Kian berkata PRK Balakong akan menjadi medan pertempuran penting bagi dua parti itu yang merupakan musuh tradisi untuk meraih sokongan masyarakat Cina.

Beliau berkata dari segi sejarah, pengundi Cina sentiasa cenderung untuk mengundi pembangkang dan bergantung kepada mereka untuk membawa kepentingan dan masalah mereka kepada perhatian kerajaan negeri.

"Mereka berjaya mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum lepas dan mereka (pembangkang ketika itu) kini menjadi kerajaan. Di Selangor, hanya lima kerusi dikuasai pembangkang.

"Adakah mereka masih bergantung kepada PH untuk benar-benar berjuang untuk mereka dalam DUN sekarang atau adakah mereka akan memilih pembangkang untuk melakukan tugas itu. Jadi pilihan raya kecil ini pastinya amat menarik untuk melihat bagaimana mereka akan mengundi," katanya.

Kebimbangan tentang peratusan rendah yang keluar untuk mengundi turut mendorong Jabatan Penerangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia melancarkan unit bergerak bagi menghebahkan maklumat kepada pengundi dan menggesa mereka untuk eluar mengundi pada 8 Sept.

Bagaimanapun, disebalik persepktif orang luar terhadap pengundi yang dilihat kurang memberikan perhatian terhadap PRK itu, seorang pengundi Ho Kuan Kiew berkata ini tidak bermakna pengundi di sini kurang sedar atau malah kurang memberi tumpuan.

Katanya dirinya sentiasa mengikuti semua perkembangan politik negara dan tidak pernah terlepas agenda yang dikemukakan oleh kedua-dua calon yang bertanding sejak tempoh berkempen bermula.

Beliau memberitahu Bernama bahawa beliau malah yakin majoriti pengundi di sini sudahpun membuat pilihan .

"Tan Chee Teong ialah seorang yang baik. Beliau bekerja keras dan seorang yang amat merendah diri. Secara peribadi saya menyukainya, ramai daripada kami di sini sukakannya tetapi amat malang, beliau memilih untuk bertanding mewakili parti yang salah," katanya.

DUN Balakong mempunyai 62,219 pemilih berdaftar yang layak mengundi dalam PRK itu.

-- BERNAMA