Skip to main content

Politik

PH gagal rebut 52% pengundi muda Melayu, naratif progresif tenggelam - Yusri Ibrahim

Ilham Center, Wacana PRN, Hisomuddin, Dr Zaini Othman, Dr Yusry
Mohd Yusri memberi amaran bahawa 52% pengundi muda Melayu kekal menjadi 'blind spot' Pakatan Harapan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Segmen pengundi muda Melayu yang merangkumi kira-kira 52 peratus daripada keseluruhan demografi pemilih kekal menjadi blind spot atau titik buta utama buat Pakatan Harapan (PH) menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). 

Ketua Penyelidik ILHAM Centre Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim menegaskan, kecenderungan kelompok muda Melayu setakat ini masih tegar berada dalam lingkungan politik identiti dan gelombang konservatisme. 

Mengulas mengenai saingan naratif Islamik pula, Yusri menjelaskan bahawa pendekatan Rahmatan lil 'Alamin dan politik progresif yang dibawakan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) gagal menterjemahkan impak berkesan di peringkat akar umbi. 

"Pendekatan dan pendirian Amanah tenggelam, tidak menjadi pandangan alternatif atau kelompok progresif sebagai pengimbang kepada naratif yang dibawa oleh Pas. 

“Dalam minda pengundi muda Melayu, mereka tidak nampak keberadaan Amanah untuk bersaing," kata Yusri ketika tampil sebagai panelis dalam Wacana Pasca-Pilihan Raya Negeri (PRN). 

Beliau menambah, penanda aras sokongan kelompok muda turut dipengaruhi oleh watak pempengaruh dan asatizah di media sosial yang memberikan sokongan secara terbuka kepada kepimpinan parti lawan, sekali gus mengukuhkan lagi penguasaan naratif politik identiti. 

Yusri turut mengkritik ketiadaan pertandingan idea dan pergerakan strategik daripada sayap pemuda parti-parti kerajaan untuk merebut segmen pengundi muda Melayu. 

Menurut beliau, dasar mahupun program kementerian berkaitan belia dan sukan masih belum berjaya dirombak menjadi satu trend atau gelombang politik nasional yang mampu menangkap imaginasi anak muda. 

"Anak muda Melayu bersaiz besar (52 peratus). Sebelum ini tidak ada contestation yang dibuat secara berkesan. Kalau awam tidak boleh sebut program apa yang dibawakan oleh Pemuda PH, itu adalah masalah besar kepada Pakatan Harapan," tegas beliau.

Dalam ulasannya mengenai lanskap antarabangsa, Yusri mengingatkan bahawa kebangkitan politik identiti bukan hanya berlaku di Malaysia, malah menjadi trend global yang disaksikan di Jepun (LDP), Thailand, dan pilihan raya terdahulu di Indonesia. 

Justeru, jelasnya lagi, PH tidak boleh berada dalam penafian atau mengandaikan pengundi akan berubah menjadi progresif secara automatik tanpa ada penawaran polisi yang menyentuh terus kehidupan rakyat jelata. 

Bagi memastikan PH kekal bersaing pada pilihan raya akan datang, beliau menyarankan agar gabungan itu merawat kelemahan saluran komunikasi, memperkasakan ejen penyampai di lapangan, serta membina naratif segar yang mampu menembusi komuniti Melayu di peringkat akar umbi. 

Must Watch Video

Advertisement