Skip to main content

Politik

PH kini pembangkang di Melaka, 5 ADUN tarik sokongan

DAP Melaka, tarik sokongan, ADUN lantikan. cred awani
Pengumuman itu dibuat Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong pada sidang media khas yang turut dihadiri empat ADUN DAP iaitu Allex Seah Shoo Chin (Kesidang); Kerk Chee Yee (Ayer Keroh); Low Chee Leong (Kota Laksamana); serta Leng Chau Yen (Banda Hilir). -Foto Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) Melaka kini tidak lagi menjadi sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka selepas gabungan itu memutuskan untuk menarik sokongan susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.

Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, PH tidak boleh terus berada dalam kerajaan selepas menolak usul yang dibawa pentadbiran negeri kerana ia bercanggah dengan prinsip politik yang dipegang parti.

“Kita telah mengambil pendirian yang jelas menolak RUU ini kerana ia bercanggah dengan prinsip demokrasi pilihan raya. Oleh itu, kita perlu keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka.

“Kita tidak boleh pada masa menolak usul kerajaan, dalam masa yang sama terus berada dalam kerajaan dan menggunakan segala kemudahan kerajaan.

"Itu tidak adil,” katanya pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Image
DAP Melaka, tarik sokongan, ADUN lantikan. cred awani

Beliau menambah semua wakil rakyat PH yang melepaskan jawatan itu bagaimanapun kekal sebagai ADUN dan akan menjalankan peranan sebagai pembangkang dalam DUN Melaka.

Khoo berkata, keputusan itu juga bukan berpunca daripada perkembangan politik semasa atau persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya dibuat berdasarkan pendirian parti terhadap isu ADUN lantikan.

Beliau menegaskan, DAP dan PH berpandangan ADUN sepatutnya dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya, bukannya dilantik.

Image
DAP Melaka, tarik sokongan, ADUN lantikan. cred awani

“Sekiranya kerajaan negeri memerlukan kepakaran daripada golongan profesional atau pakar dalam sesuatu bidang, mereka boleh dilantik sebagai penasihat tanpa perlu diberikan kedudukan sebagai ADUN.

“Apabila seseorang dilantik sebagai ADUN, mereka mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam perbahasan dan mengundi di Dewan Undangan Negeri.

"Itu yang bercanggah dengan prinsip demokrasi pilihan raya yang kita pegang,” tambahnya.

 

 

Susulan keputusan itu, beliau memaklumkan semua wakil PH yang memegang jawatan dalam pentadbiran negeri akan melepaskan jawatan masing-masing.

Ia membabitkan seorang Exco Kerajaan Negeri, dua Timbalan Exco, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri serta semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan lantikan politik kerajaan negeri daripada DAP.

Dengan keputusan itu, PH kembali berperanan sebagai pembangkang di Melaka selepas sebelum ini menyertai pentadbiran negeri atas semangat Kerajaan Perpaduan.

Walaupun PH Melaka mengambil keputusan menarik sokongan daripada Kerajaan Negeri Melaka, langkah itu dijangka tidak menjejaskan kedudukan pentadbiran negeri secara langsung memandangkan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai jumlah kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement