Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu dari Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi akan dilantik menjadi Ketua Pembangkang DUN Kedah yang baharu dalam sesi persidangan yang akan berlangsung pada Ogos ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Johari Abdul menjelaskan, keputusan melantik Pengerusi Amanah Kedah itu dibuat setelah mendapat persetujuan kesemua 11 ADUN yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan DAP di negeri itu.

Tambah beliau, PH Kedah juga akan menubuhkan porfolio yang merangkumi enam kluster utama dalam menjadi ejen pemantau terhadap tahap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional di negeri itu.

Menurutnya, antara kluster yang akan diwujudkan adalah kluster Sumber Alam, kluster Ekonomi, kluster Pembangunan Infrastruktur, kluster Sosial dan Agama, kluster Urustadbir Kerajaan dan Badan-Bukan Kerajaan serta kluster Sumber Manusia.

"Kita bercadang untuk adakan portfolio. Kita dah ada (calon) cuma kita nak pastikan siapakah yang akan menjadi ketua portfolio ini supaya bila kita membangkang kita juga mencadang apakah program-program yang kita rasa harus diberi perhatian dalam kerajaan sekarang supaya kita nak mengelakkan daripada kita berpolitik sepanjang masa tetapi meninggalkan hasrat sebenarnya kita memerintah adalah untuk memastikan rakyat terbela," katanya.

Johari berkata demikian ketika sidang media Pelancaran Jawatankuasa Pakatan Harapan peringkat Parlimen Kedah, di Dewan Parti Amanah Negara, Alor Setar pada Sabtu.

Beliau turut menegaskan jawatankuasa yang ditubuhkan PH Kedah di peringkat parlimen serta portfolio di peringkat DUN tidak akan melibatkan bekas-bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Maknanya, kita (PH) menerima lima orang wakil rakyat ahli parlimen daripada Bersatu (beserta Tun Mahathir) tu sebagai sebahagian dari pembangkang sekarang.

"Itu sebab mereka berada di blok pembangkang, jadi sebagai (ADUN) peringkat negeri, dia akan balik sebagai ahli parlimen kawasan dia tapi tidak dalam coalition kita (gabungan PH Kedah)"

Dalam perkembangan sama, kesemua ADUN Pakatan Harapan Kedah akan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan PN negeri berhubung isu cadangan pertukaran Speaker DUN dalam sesi persidangan akan datang.

Sementara itu, PH Kedah menyasarkan untuk memenangi lebih daripada tujuh kerusi Parlimen yang dimiliki ketika ini jika Pilihanraya Umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat.

Johari berkata keyakinan itu disuarakan selepas melihat reaksi balas rakyat yang mahukan perubahan berlaku dalam tampuk pemerintahan negara serta mengembalikan semula mandat yang diberikan dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Susulan itu, jelas beliau, jentera-jentera PH dari peringkat tertinggi sehingga ke peringkat akar umbi telah pun digerakkan lebih awal menerusi penubuhan Jawatankuasa PH samada di peringkat parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya rasa rakyat bersedia untuk buat perubahan apabila pilihanraya ini dipanggil nanti (parlimen dibubarkan), sudah tentu kita akan sapu bersih, insya-Allah kita akan tuntut (semula kemenangan kita), (itu sudah) tentu"

PH ketika ini memiliki tujuh kerusi Parlimen di negeri Kedah menerusi PKR (enam kerusi) dan Amanah (satu kerusi).

Bekas Ahli Parlimen Bersatu turut memiliki tiga kerusi parlimen di negeri Jelapang Padi itu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Manakala mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN), Pas memiliki tiga kerusi iaitu di Pendang, Sik dan Jerai manakala Barisan Nasional dengan dua kerusi iaitu di Padang Terap dan Baling.